Monday, April 20, 2009

Bab 11 : Humaira...

AL-AMIN terus diburu. Walaupun Zionis laknatullah dengan gembira mengumumkan kejayaan mereka menumpaskan
beberapa pejuang merbahaya, tetapi itu belum mencukupi. Selagi Al-Amin tidak ditangkap, mereka belum puas dan tidak akan puas.
Siapa yang tidak mengenali Al-Amin, pejuang yang berani mati. Al-Amin tulang belakang Briged Ayubi. Rejim Zionis berusaha memastikan Al-Amin ditangkap
ataupun menyerah diri. Selagi mana Al-Amin bebas berkeliaran, ia mengancam keselamatan mereka. Hakikatnya, Zionis laknatullah takut akan Al-Amin.
Humaira kaku. Tiada reaksi. Setitis demi setitis air matanya menitis. Berkaca-kaca. Berkaca. Mata galaknya
membulat. Terkejut.
“Humaira tidak apa-apa?” Rangkulan itu erat memeluk
Humaira. Segala kerinduan terubat. Adakah penantiannya sudah berakhir? Humaira berasa sangat tenang, tenang dalam dakapan itu. Sungguh dia sangat rindukan saat itu. Bersama suaminya, Al-Amin.
“Abang minta maaf, sayang. Inilah perjuangan kita, Humaira. Humaira tentu sangat faham, bukan?” Al-Amin tahu kebimbangan isterinya atas keselamatannya
dan keadaan dirinya Humaira mengangguk. Dia isteri pejuang, dia memahaminya. Dia bersama Mujahadah. Bersama dalam perjuangan ini. Memang selama ini dia diselubungi
kebimbangan. Hanya seminggu mereka bersama
kemudian Al-Amin perlu pergi, mereka terpisah. Untuk perjuangan menegakkan kembali bumi al-Quds dari dikuasai oleh Zionis laknatullah.
“Humaira rindu. Humaira akan sentiasa merindukan
abang. Tetapi biarlah rindu ini dapat menemukan
kita di akhirat kelak.” Tangan suaminya dikucup berkali-kali. Matanya masih basah. Sedunya berbunyi.
“Doakan Humaira untuk kuat dalam perjuangan
ini, abang.” Humaira bersyukur diberi kesempatan untuk bersama dengan suaminya yang tercinta, walau seketika.
Al-Amin memahami jiwa isterinya. Seorang isteri tidak mampu bertahan apabila berbulan ditinggalkan. Apa lagi bertahun-tahun.
“Humaira isteri abang yang hebat. Keperitan di dunia hanya sementara, moga Allah kekalkan kita di akhirat nanti. Impian kita bukan di sini, tetapi di destinasi abadi, sayang. Perpisahan ini hanya sementara. Penderitaan ini hanya untuk seketika supaya kita dapat bersama kelak yang kekal untuk selama-lamanya,” Al-Amin menenangkan Humaira. Manik jernih mengalir di pipi Humaira diseka. Rambut hitam Humaira dielus-elus lembut. Humaira tenang dalam dakapannya.
Mata Humaira berkaca. Seribu satu gelodak rasa di jiwa. Mengundang resah. Jiwa halus mula berbisik. "Ya Allah, selamatkanlah suamiku. Kau lindungilah dirinya
dengan kasih dan sayangMu. Berikan dia kekuatan
untuk terus berjuang di jalanMu. Jangan Kau nampakkan kesedihanku ini di matanya kerana aku tidak mahu kesedihan ini menjadikan hatinya lemah.” Sedaya Humaira menahan kolam air matanya dari mengalir. Bibirnya bergetar. Hatinya perit menahan rasa.
"Sayang, perjuangan ini menuntut pengorbanan keseluruhan jiwa raga. Apatah lagi nyawa yang bila-bila masa bakal dijemput Ilahi. Selangkah ke alam perjuangan selamanya dalam kepahitan. Humaira sayang, perjuangan ini tidak dihampar dengan permaidani merah. Tetapi ingatlah sayang, onak dan duri yang akan terus kita tempuhi. Jangan ada resah dan kesal walau sedikit di hatimu sayang. Jika kita benar-benar ikhlas dalam perjuangan ini, Dia pasti tidak akan menghampakan kita. Percaya dan yakinlah wahai sayangku Humaira.”
Sebak di dada Humaira tidak tertahan lagi. Kolam jernih Humaira mengalir jua. Deras dan semakin laju menderu mengalir. Al-Amin menarik tubuh kecil Humaira rapat ke dadanya, dirangkul erat. Menenangkan kedukaan jiwa isteri tercinta. Rambut Humaira dibelai dan diusap perlahan-lahan. ”Menangislah sayangku. Menangislah sepuas hatimu
sayang. Air matamu itu adalah sumber kekuatan,” Al-Amin berbisik sayu.
Dinihari, Humaira masih lena didodoi suami tercinta.
Perlahan, Al-Amin meleraikan lentok kepala Humaira di sisi. Subuh semakin menghampiri. Al-Amin perlu beredar sebelum azan berkumandang. Wajah tabah Humaira ditatap dalam, sepuas hatinya. Mungkin inilah ke sekian akhirnya dia dapat melihat dan merenung raut wajah isteri tercinta. Pilu bertamu di hati. Dahi Humaira dikucup. Lama...

No comments:

Post a Comment