Tuesday, April 7, 2009

Bab 5 : Pertemuan Pertama

Aima Insyirah melangkah ke satu tempat asing. Ibu Fatimah dan Azzahra bersama, sejak tadi hanya membisu. Ingin ditanya tetapi dibatalkan. Mungkin Ibu Fatimah belum bersedia untuk bercerita. Perjalanan yang agak lama sedikit memenatkan. Pintu utama terbuka, tiada siapa yang menyambut kedatangan mereka, hanya terdengar suara Ibu Fatimah berkata beberapa patah perkataan yang tidak difahami pada alat penggera. Suasana sunyi tetapi cukup canggih, buatkan Aima Insyirah terpesona. Di dinding sekeliling seperti cermin, bila disentuh kenyal seperti getah. Hiasan dalaman cukup unik, kalimah agung elektronik menghiasi sekeliling digerakkan secara automatik, elektronik. Mereka menuju ke sebuah bilik, kelihatan dua orang sedang menanti. Lantas tersenyum dan tunduk hormat kepada mereka.

“Bapa menyambut kehadiran askar rejim Zionis itu dan menyuruh mereka duduk. Salah seorang daripada mereka berkata yang mereka mahu mengambil segala apa yang ada.”

Ibu bertanya kenapa mereka mahu segala-galanya setelah mengambil barang yang paling berharga iaitu tanah air kami?

Jawab mereka, “Kamu tengok apa lagi yang aku akan ambil. Aku akan mengambil kamu dan adik perempuan kamu.”

“Bapa merayu kepadanya untuk mengambil segala-galanya kecuali anak-anaknya. Bapa ditumbuk mukanya dan mula berdarah. Ibu tidak dapat mengawal diri dan memekik di depan askar-askar itu, bertanya mengapa mereka sanggup memukul seorang lelaki tua. Ibu dipukul dan ditolak dengan kasar ke tanah. Apabila terasa sakit, ibu memukul balik askar itu. Mereka merampas wang kami dan semua barangan berharga termasuk cincin perkahwinan bapa.”

“Salah seorang daripada mereka berteriak dan memberi arahan supaya kami dibawa masuk ke dalam bilik, kami diarahkan berdiri dekat dinding dengan tangan kami diangkat di atas kepala dan membelakangi mereka. Mereka memerintahkan kami jangan melihat ke belakang. Adik ibu, Shania yang berusia satu setengah tahun mengangkat tangannya sambil memanggil umi kerana ketakutan. Mereka mula menembak kami. Adik bongsu ibu, seorang bayi ditembak di kepala dan otaknya memercik ke atas kami. Bapa ditembak dijantungnya tetapi masih bernyawa. Adik lelaki, Fuad 3 tahun, Baser 8, Mo’az 11 dan adik perempuan, Sarah, 7 dan Shania serta jiran kami mati dengan serta-merta.”

Batuk ibu Khaulah kedengaran. Keras. Bicaranya terhenti. Matanya merenung sesuatu, jauh. Hening. Kosong. Tanpa perasaan. Dada Aima Insyirah bagaikan mahu pecah, sebak, benci, mual semuanya bersatu.

“Aduh!” Erangan Azzahra mengejutkan Aima. Tanpa sedar, tangan mulus Azzahra menjadi mangsanya. Luahan kebencian di hati.

“Maaf!” Hanya itu yang terlontar di bibir Aima. Azzahra senyum nipis, kembali hilang di dunianya.

Ibu Khaulah menyambung lagi. “Adik lelaki ibu, Mohd, 15 dan Ibrahim, 9, terselamat kerana mereka menyorok di dalam bilik air. Umi ibu dan adik perempuan, Noha 16, tercedera. Ibu lumpuh serta-merta, tidak dapat bergerak. Askar-askar itu fikir kami semua telah mati lalu meninggalkan rumah kami. Ibu mula menjerit-jerit bertanyakan siapa yang masih hidup. Umi, Noha, Mohd dan Ibrahim menjawab. Kemudian bapa menyahut, tetapi cedera parah. Ibu menyuruh mereka semua melarikan diri dan menghantar seseorang untuk menyelamatkan kami. Jadi mereka lari dan tinggallah ibu dan bapa ibu yang tercedera, dikelilingi ahli keluarga yang sudah menjadi mayat. Keadaan yang menggerunkan itu tidak akan dapat ibu lupakan sepanjang hayat.

Batuk ibu Khaulah kedengaran lagi, air kosong diteguknya. Matanya rapat terpejam. Ibu Fatimah mendekati ibu Khaulah, menenangkan.”

“Ibu berada di hospital selama empat tahun dan telah enam kali menjalani pembedahan. Ibu meninggalkan Shatila. Sehingga kini, ibu tidak mengetahui ahli keluarga ibu yang lain, di mana mereka sama ada masih hidup atau tidak. Telah lama berlalu. Kadang-kadang ibu menggunakan kasut roda khas dan tongkat untuk bergerak. Perlahan-lahan ibu mulakan kehidupan baru, cari semangat. Dan kini ibu di sini, bersama semangat dan matlamat. Sudah hampir 20 tahun ibu di sini.”

Kerusi roda automatik meluncur ke sebuah meja. Air mata Aima Insyirah mengalir laju. Sebak. Betapa beratnya penderitaan ibu Khaulah. Seksanya kehidupan wanita Palestin. Hebatnya ujian kehidupan rakyat Palestin. Sebak di dadanya tidak tertahan. Wajah umi dan walid berlegar-legar di matanya.

“Mari anakku, ibu tunjukkan hasil gerak kerja Gerakan Mujahadah selama ini,” Ibu Khaulah menarik tangan Aima Insyirah dan Azzahra. Skrin besar di hadapan terpancar. Ibu Khaulah, ibu Fatimah dan pakar-pakar bahagian defensive technology telah lama membangunkan sistem ini. Sejak tahun 1996, selepas tertubuhnya Briged Ayyubi pada tahun 1992. Gerakan Mujahadah membantu Gerakan Assoff dari sudut defensive technology yang meliputi senjata beracun, bekalan-bekalan pil untuk kekuatan pejuang dan banyak lagi.

Aima Insyirah kagum. Azzahra sendiri selaku pakar IT selama ini, tidak tahu semua sistem yang dibangunkan oleh Gerakan Mujahadah, walaupun tiga jabatan utama berada di bawah Pusat Penyelidikan & Teknologi iaitu defensive technology, information technology dan intelligence agent. Ibu Khaulah dan ibu Fatimah mungkin ada sebabnya tersendiri dan maslahahnya untuk tidak memberitahu Azzahra.

Pintu terbuka, ada beberapa orang pemuda hadir. Aima Insyirah dan Azzahra serentak menoleh. Tiga orang pemuda melangkah masuk mendatangi mereka. Seorang lelaki berserban, janggut memutih dan bertongkat tersenyum melihat mereka.

“Assalamualaikum.” Lelaki itu menyapa bersama tiga pemuda tersebut. Aima Insyirah cuba mengingati, seorang pemuda itu seperti pernah bersua. Rifa'il Zanki, nama itu terluncur dari bibirnya. Dia mula ingat. Pemuda itulah Jeneral Briged Ayyubi. Dia pernah bersama ibu Fatimah dan Humaira menghadiri perbincangan bahagian strategik dengan Gerakan Assoff sebelum ini. Dua orang lagi pemuda itu turut bersama, pimpinan utama Briged Ayyubi. Aima Insyirah tidak dapat mengingati nama mereka.

“Ini Abi Yussof, Ketua Assoft. Ini Rifail Zanki, Jeneral Ayyubi. Ini Leftenan Jeneral Harithah Fadlallah, dan ini Leftenan Major Ameer Hussaini. Aima kenal, bukan? Terutama Abi Yussof, seluruh dunia kenal akan dia,” Ibu Khaulah memperkenalkan.

Aima Insyirah senyum. Sedikit kelat. Agak malu. Baru tersedar itulah pemimpin hebat Assoff, Syeikh Yussof yang disegani dunia. Tidak sangka dapat bertemu ulama hebat. Tetapi inilah matlamat dia di Palestin, menyertai gerakan Mujahadah dan Assoff. Azzahra dan ibu Fatimah menahan ketawa melihat gelagat Aima Insyirah. Lucu dengan muka terkejutnya.

“Ahlan Aima Insyirah,” Jeneral Rifa'il Zanki bersuara. Mengalukan kedatangannya.

“Syukran,” jawab Aima Insyirah ringkas. Agak terharu. Dia mula sedar, pertemuan ini adalah sesuatu yang besar dalam hidupnya. Membawa misi yang besar. Misi seluruh umat Islam. Sebelum ini, dia selalu bersama ibu Fatimah, fasa latihan sebelum terlibat secara langsung dengan dua gerakan utama ini, merancang dan melancarkan strategi.

“Walaupun tidak lengkap tanpa Humaira dan Asmah, tetapi harapnya perbincangan kita dapat diteruskan. Saya mohon maaf bagi pihak Mujahadah kepada Assoff, terutamanya Abi Yussof,” Ibu Fatimah memulakan.

“Tidak mengapa ibu Fatimah, kita teruskan dengan yang ada. Masing-masing ada taklifan tersendiri.” Tenang suara Abi Yussof. Memahami.


No comments:

Post a Comment