Tuesday, April 7, 2009

Bab 6 : Sebuah Taklifan

“Ingatlah kalimah masyhur baginda Nabi terhadap bapa saudaranya: Demi Allah wahai bapa saudaraku, sekiranya mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku sebagai tawaran agar aku meninggalkan urusan dakwahku ini, aku tidak akan meninggalkannya sehinggalah Allah mengurniakan kemenangan ataupun aku dibinasakan kerananya. Sematkanlah di hatimu wahai jundullah akan peringatan ini. Ayuhlah kita sama-sama berdoa, meminta Allah thabatkan hati kita dalam perjuangan ini sehingga tiba ketentuannya.”

Tazkirah Abi Yussof semalam masih diingati Aima Insyirah. Cukup memberkas di jiwa. Kata-kata dengan tiupan roh mampu menggegarkan jiwa sesiapa yang mendengarnya.

“Aima Insyirah, kamu adalah penolong utama Ibu Fatimah, Leftenan Jeneral Mujahadah.” Taklifan itu mengganggu jiwa Aima Insyirah. Takut dengan amanah yang diberikan. Tetapi memang itulah cita-citanya, menjadi pejuang mujahidah melawan Zionis kuffar. Beberapa tahun di bumi al-Quds, bersama umi dan walid, Aima Insyirah semakin memahami Palestin, geografi, topologi dan krisis-krisis di Palestin. Umi dan walid banyak mendidiknya. Ibu Fatimah, Humaira banyak membantunya. Idea-idea Aima Insyirah sepanjang mesyuarat tadi banyak dapat diterima, dia semakin matang.

“Alhamdulillah, semoga nusroh Allah sentiasa bersama,” bisik Aima Insyirah.

Jadual tugasan harian disemak. Awal-awal pagi Aima Insyarah sudah tiba di pejabatnya. Dr Khaleeja baru sampai. Humaira belum kelihatan. Fail-fail yang berselerak disusun rapi, disemak kes-kes trauma yang setiap hari berlaku. Di mana-mana sahaja pasti ada bedilan, tembakan penceroboh laknatullah yang tidak berperikemanusiaan.

Jadualnya padat. Malam ini mesyuarat gerakan Mujahadah, perkemaskan strategi. Dalam gerakan Mujahadah, terdapat empat pusat utama:

(i) Pusat rawatan & trauma

(ii) Pusat bekalan makanan dan pakaian

(iii) Pusat asuhan Islami (kanak-kanak berusia 4-12 tahun)

(iv) Pusat penyelidikan dan teknologi

Semuanya terletak di penempatan Kem Mujahadah kecuali pusat penyelidikan & teknologi. Sistem kawalan dan keselamatan Kem Mujahadah dikawal oleh gerakan Assoff. Asmah menguruskan pusat bekalan makanan & pakaian, manakala pusat asuhan Islami diuruskan oleh Ibu Fatimah. Aima Insyirah dan Humaira di pusat rawatan & trauma dengan bantuan beberapa orang doktor. Ramai ibu-ibu dan anak gadis yang turut sama berkhidmat, membangunkan Kem Mujahadah, menguruskan kebajikan wanita dan anak-anak Palestin walaupun hakikat kehidupan mereka sangat buruk dan teruk.

“Kak Aima, Ammar ada cerita best!” Kanak-kanak kecil itu menerpa Aima Insyirah. Dia terkejut.

“Ammar masuk tidak beri salam, ya?” Hidung mancung Ammar dipicitnya, senyum. Kanak-kanak ini seperti adiknya sendiri, sayangnya semakin bertambah. Anak yatim, kasihnya jarak antara dua jari sahaja. Kepintaran dan telatah Ammar menghiburkan hati. Nakalnya bermakna, kata-kata si cilik muda penuh dengan semangat perjuangan. Dalam usia lapan tahun, apalah yang dimengertikan oleh seorang kanak-kanak? Tetapi ia berbeza dengan Ammar.

Errm, Ammar lupalah. Tidak sabar hendak jumpa Kak Aima!” Ammar menggaru-garu kepalanya, tersipu.

“Yalah sayang. Apa cerita best itu? Cepatlah cerita, tidak sabar kakak hendak tahu.” Ammar diangkat ke atas mejanya.

“Beratnya!” Aima Insyirah mengusik. Barisan gigi Ammar terserlah.

“Semalam Ammar dan kawan-kawan buat satu plan best. Kami jalan-jalan kutip batu-batu. Kami mahu simpan, kumpul banyak-banyak. Nanti senang nak serang askar putih yang jahat itu. Banyak sangat kami dapat kutip,” Muncung mulut Ammar bercerita, dengan penuh gaya.

Aima tergelak. “Banyak mana, Ammar?”

“Banyaklah, sebesar ini,” tangannya didepa luas.

“Bila Ammar dan kawan-kawan mahu serang askar putih yang jahat itu?” Aima Insyirah terus melayan Ammar. Seronok.

“Tidak tahu, tetapi bila-bila masa sahaja. Bila mereka serang kita, Ammar dan kawan-kawan akan serang balik nanti. Biar mereka takut sampai mati. Bestkan, Kak Aima?” Mata Ammar bercahaya, ada semangat.

Hati Aima Insyirah tersentuh. Rasa segan dengan diri dewasa. Kanak kecil bersamanya itu lebih besar jiwanya.

“Sekarang ini Ammar, kita sudah tidak guna batu tahu,” giliran Aima Insyirah pula bercerita.

“Sudah itu hendak guna apa?” Mulut Ammar muncung. Comel.

“Kita guna pistol air.”

“Pistol air? Pistol air tidak sakit. Lebih baik guna batu. Tetapi….” Kaki Ammar berayun-ayun.

“Tetapi apa, Ammar?” Tanya Aima Insyirah.

“Kalau pistol air beracun, ha, barulah best.Gigi susu Ammar kelihatan. Senyum.

“Bijak Ammar ini.” Aima Insyirah memuji.

Itu dalam perancangan strategi. Ternyata Ammar memang kanak-kanak pintar dan strategis.

“Ammar mahu cerita satu lagi,” dahi Ammar berkerut. Seperti berfikir.

“Semalam Ammar mimpi, ada 2-3 orang lelaki berlari, dikejar oleh askar bersenjata. Keadaan bising sangat. Bunyi tembakan menakutkan Ammar. Tetapi lelaki-lelaki itu hilang, tidak tahu ke mana. Ammar tidak nampak. Nampak askar-askar itu marah-marah. Hodoh.” Muka Ammar muram.

“Ammar takutkah?”

Ammar menggeleng-gelengkan kepala.

“Tidak takut tetapi Ammar rasa pelik.”

“Pelik?”

“Aah, Ammar pun tidak tahu kenapa.”

“Ammar tidak wuduk sebelum tidur agaknya,” Aima Insyirah cuba membangkitkan suasana suram itu.

“Wuduk, Ammar baca ayat kursi, tiga qul lagi. Doa tidur pun.” Jelas Ammar.

Aima Insyirah tahu. Tarbiyah Ammar lengkap. Kanak-kanak di sini dididik dengan hebat. Sejak kecil telah dididik menghafaz al-Quran. Ammar pun sebegitu.

Mimpi Ammar hakikatnya menjadi tanda tanya. Tapi sekadar dibiarkan. Mungkin Ammar masih trauma dengan peristiwa yang menimpa keluarganya.

No comments:

Post a Comment