Tuesday, May 26, 2009


Read Malaysia International Book Fair 2009
29 Mei - 7 Jun 2009
11.00 pagi - 10.00 malam
MIECC, MINES
Bandar Seri Kembangan, Kuala Lumpur


InsyaAllah sesi sign-author / sesi bersama pengarang Novel Melakar Cinta Firdausi ;

5 Jun 2009 ( Jumaat)
5.30-6.30 petang
di gerai D111-D222
PTS Publisher Sdn. Bhd.


Diskaun sehingga 30 %...

maklumat lanjut : http://pts.com.my/index.php/aktiviti/3361/

JOM JUMPA DI SANA!!! (",)

::Melakar Cinta Firdausi di Harian Metro ::

Isnin & Selasa ( 25 dan 26 Mei 2009)
Ruangan HATI (Ulat Buku)

AIMA Insyirah, gadis berasal dari Malaysia menabur bakti sebagai sukarelawan di Palestin. Berlatarbelakangkan pergolakan Palestin, Aima Insyirah tetap tersenyum membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Zionis.Namun pada saat seluruh hatinya ditujukan untuk tujuan murni itu, ada serpih hatinya yang tertinggal di Malaysia. Naufal Mustaqim, kenalan lamanya kembali berhubung dengan sejuta harapan kebahagiaan.Pada saat hatinya merindu kepada Naufal, hatinya mula diuji dengan hadirnya Jeneral Ri'fail Zanki - ketua briged Ayyubi yang menyimpan hati kepada Aima Insyirah.Pada saat hatinya menginsafi penderitaan penduduk Palestin, dirinya pula diuji apabila dia ditangkap oleh tentera Zionis.
Kalut. Buntu. Terasing. Pada saat hatinya hanya mampu menggambar bahagia ilusi, masih mampukah dia melakar cinta firdausi?

Judul: Melakar Cinta Firdausi
Penulis: Nurul Aini K Azhari & Aimi Nabihah Mohamad
Penerbit: PTS Litera Utama Sdn Bhd (2009)
Harga: RM16 (Sabah & Sarawak RM18)Halaman: 294

-Alhamdulillah.Terima kasih buat penerbit,sahabatku, aini azhari, keluarga dan semua sahabat2 kami yang membantu dan menyokong. Semoga usaha ini hanyalah untuk Islam,bukan kebanggaan.Amin-

Monday, April 20, 2009

Bab 11 : Humaira...

AL-AMIN terus diburu. Walaupun Zionis laknatullah dengan gembira mengumumkan kejayaan mereka menumpaskan
beberapa pejuang merbahaya, tetapi itu belum mencukupi. Selagi Al-Amin tidak ditangkap, mereka belum puas dan tidak akan puas.
Siapa yang tidak mengenali Al-Amin, pejuang yang berani mati. Al-Amin tulang belakang Briged Ayubi. Rejim Zionis berusaha memastikan Al-Amin ditangkap
ataupun menyerah diri. Selagi mana Al-Amin bebas berkeliaran, ia mengancam keselamatan mereka. Hakikatnya, Zionis laknatullah takut akan Al-Amin.
Humaira kaku. Tiada reaksi. Setitis demi setitis air matanya menitis. Berkaca-kaca. Berkaca. Mata galaknya
membulat. Terkejut.
“Humaira tidak apa-apa?” Rangkulan itu erat memeluk
Humaira. Segala kerinduan terubat. Adakah penantiannya sudah berakhir? Humaira berasa sangat tenang, tenang dalam dakapan itu. Sungguh dia sangat rindukan saat itu. Bersama suaminya, Al-Amin.
“Abang minta maaf, sayang. Inilah perjuangan kita, Humaira. Humaira tentu sangat faham, bukan?” Al-Amin tahu kebimbangan isterinya atas keselamatannya
dan keadaan dirinya Humaira mengangguk. Dia isteri pejuang, dia memahaminya. Dia bersama Mujahadah. Bersama dalam perjuangan ini. Memang selama ini dia diselubungi
kebimbangan. Hanya seminggu mereka bersama
kemudian Al-Amin perlu pergi, mereka terpisah. Untuk perjuangan menegakkan kembali bumi al-Quds dari dikuasai oleh Zionis laknatullah.
“Humaira rindu. Humaira akan sentiasa merindukan
abang. Tetapi biarlah rindu ini dapat menemukan
kita di akhirat kelak.” Tangan suaminya dikucup berkali-kali. Matanya masih basah. Sedunya berbunyi.
“Doakan Humaira untuk kuat dalam perjuangan
ini, abang.” Humaira bersyukur diberi kesempatan untuk bersama dengan suaminya yang tercinta, walau seketika.
Al-Amin memahami jiwa isterinya. Seorang isteri tidak mampu bertahan apabila berbulan ditinggalkan. Apa lagi bertahun-tahun.
“Humaira isteri abang yang hebat. Keperitan di dunia hanya sementara, moga Allah kekalkan kita di akhirat nanti. Impian kita bukan di sini, tetapi di destinasi abadi, sayang. Perpisahan ini hanya sementara. Penderitaan ini hanya untuk seketika supaya kita dapat bersama kelak yang kekal untuk selama-lamanya,” Al-Amin menenangkan Humaira. Manik jernih mengalir di pipi Humaira diseka. Rambut hitam Humaira dielus-elus lembut. Humaira tenang dalam dakapannya.
Mata Humaira berkaca. Seribu satu gelodak rasa di jiwa. Mengundang resah. Jiwa halus mula berbisik. "Ya Allah, selamatkanlah suamiku. Kau lindungilah dirinya
dengan kasih dan sayangMu. Berikan dia kekuatan
untuk terus berjuang di jalanMu. Jangan Kau nampakkan kesedihanku ini di matanya kerana aku tidak mahu kesedihan ini menjadikan hatinya lemah.” Sedaya Humaira menahan kolam air matanya dari mengalir. Bibirnya bergetar. Hatinya perit menahan rasa.
"Sayang, perjuangan ini menuntut pengorbanan keseluruhan jiwa raga. Apatah lagi nyawa yang bila-bila masa bakal dijemput Ilahi. Selangkah ke alam perjuangan selamanya dalam kepahitan. Humaira sayang, perjuangan ini tidak dihampar dengan permaidani merah. Tetapi ingatlah sayang, onak dan duri yang akan terus kita tempuhi. Jangan ada resah dan kesal walau sedikit di hatimu sayang. Jika kita benar-benar ikhlas dalam perjuangan ini, Dia pasti tidak akan menghampakan kita. Percaya dan yakinlah wahai sayangku Humaira.”
Sebak di dada Humaira tidak tertahan lagi. Kolam jernih Humaira mengalir jua. Deras dan semakin laju menderu mengalir. Al-Amin menarik tubuh kecil Humaira rapat ke dadanya, dirangkul erat. Menenangkan kedukaan jiwa isteri tercinta. Rambut Humaira dibelai dan diusap perlahan-lahan. ”Menangislah sayangku. Menangislah sepuas hatimu
sayang. Air matamu itu adalah sumber kekuatan,” Al-Amin berbisik sayu.
Dinihari, Humaira masih lena didodoi suami tercinta.
Perlahan, Al-Amin meleraikan lentok kepala Humaira di sisi. Subuh semakin menghampiri. Al-Amin perlu beredar sebelum azan berkumandang. Wajah tabah Humaira ditatap dalam, sepuas hatinya. Mungkin inilah ke sekian akhirnya dia dapat melihat dan merenung raut wajah isteri tercinta. Pilu bertamu di hati. Dahi Humaira dikucup. Lama...

Bab 10 : Tiada Daya Selain Dari Allah

ASKAR yang berpakaian seragam hijau, berlencana Zionis, menyentap kerudung yang melitupi aurat Aima Insyirah. Aima Insyirah tersentap, matanya kemerahan memandang anjing laknatullah itu. Rambutnya terurai jatuh mencecah bahu. Maruahnya dipersendakan.
“Wow, so beauty!” Askar Zionis itu mengelus-ngelus rambut halus Aima Insyirah. Matanya melirik ke seluruh tubuh Aima Insyirah. Aima Insyirah menepis kasar. Mencari kekuatan mempertahankan maruahnya.
Askar itu memandang Aima Insyirah dengan niat jahat, mengeluarkan kata-kata kotor dan membuat gerakan lucah. Aima Insyirah terus dipaksa untuk bersuara,
menjawab soalan. Namun, Aima Insyirah tetap berdegil. Biar terkorban diri, tetapi bukan korbankan perjuangan Islam. Aima Insyirah berjanji pada dirinya
bahawa anjing-anjing Zionis boleh menakluki tubuhnya, tetapi mereka tidak akan dapat menguasai jiwanya, mematahkan akidahnya atau melunturkan semangat perjuangannya.
Ptuih! Sepantas kilat Aima Insyirah meludah ke muka askar laknatullah itu. Pang! Satu penampar singgah di pipi Aima Insyirah. Merah dan pedih. Adatitisan darah di hujung bibirnya. Sungguh kuat tangan kasar itu mengasari pipi Aima Insyirah.
“Nah, ambillah! Pergi mampuslah dengan agamamu,”
tudung dilemparkan ke muka Aima Insyirah. Penghinaan itu membakar jiwanya. “Lakum dinukum waliyadin.” Aima membalas penghinaan mereka. Matanya bersinar, jelas kemarahannya. Askar Zionis ketawa berdekah-dekah, mengejek pendirian Aima Insyirah.
“Sebat dia 100 kali!”
Tubuh kecil Aima Insyirah digantung pada tiang besi, sebatan mendarat ke tapak kaki dan seluruh badannya. Kesakitan di segenap tubuh terasa sehingga ke tulang. Suara rintihan Aima Insyirah mengajukan pengaduan kepada Allah. Mulut Aima Insyirah tidak putus mengulang-ulang Asmaullahazam.
“Ya Allah, ya Allah, Allahuakbar!” Sebatan yang dihayun ke tubuh menyiat-nyiat kulitnya. Hatinya hanya bergantung kepada Allah. Sayup-sayup, Aima Insyirah terdengar suara anjing-anjing laknatullah itu memanggilnya. Mengarahkannya berdiri tegak. Menambahkan lagi azab kesakitan yang menimpanya. Mata Aima Insyirah tidak mampu dibuka. Apatah lagi untuk bangun berdiri. Si gempal laknatullah mengarahkan
askarnya menegakkan tubuh Aima Insyirah.
“Mana Tuhanmu? Panggillah Tuhanmu. Minta Dia lepaskan engkau dari cengkaman aku, panggillah!” teriak si gempal laknatullah itu. Aima Insyirah tidak menjawab.
“Di mana Tuhan yang engkau agungkan itu?” kata-katanya menyakitkan hati Aima Insyirah. Menyakitkan hati semua umat Islam kalau didengari.
“Allah akan berbuat sesuatu dan punya kekuatan Yang Maha Besar.” Aima Insyirah menjawab walaupun tekaknya tidak mampu mengeluarkan suara.
Aima Insyirah dibawa keluar dari sel tahanan. Dia dibawa ke rumah sakit untuk rawatan.

Bab 9 : Intifadha Pertama

Trak-trak askar rejim Zionis hancur. Pengeboman berlaku di sana-sini. Pejuang-pejuang mula bertindak.
Pastinya mereka ialah pejuang-pejuang yang berjaya melarikan diri daripada penjara. Kelibat mereka tidak dapat dikesan. Pengawasan rejim Zionis beralih
pada tempat-tempat strategik bagi memastikan Al-Amin bersama tiga pejuang lain ditangkap ataupun dihapuskan.
“Jangan lupa, malam ini!” Interkom berbunyi. Gerakan Mujahadah bersedia. Briged Al Ayubi perkemaskan
persediaan. Strategi, fizikal dan ruhiyyah.
Humaira tidak pernah lekang dari munajat kepada Ilahi. Dia yakin, pertolongan Allah semakin hampir. Perasaan rindu yang mendalam kepada Al-Amin, suami tercinta tidak pernah lekang dari hatinya. Rindu yang kian mendalam. Allah sedang menguji cinta dan kasih sayangnya. Segalanya disandarkan kepada pemilik
segala rasa rindu. Biarlah Allah memelihara perasaannya
supaya tidak melunturkan rasa rindu kepada yang lebih berhak. Ditahan gelodak di jiwa. Tawakal sepenuhnya kepada Allah. Dia lebih mengetahui hikmah setiap kejadian.
Azzahra dan beberapa orang intel yang lain mengawal
operasi di pusat kawalan utama. Dua operasi dijalankan serentak. Operasi pembebasan tahanan Palestin. Zon A, Penjara Gaza. Zon B, Penjara Nablus. Ribuan pejuang Ayubi bersedia, menuju ke pusat operasi yang ditetapkan. Jeneral Rifa’il Zanki ketuai operasi di Penjara Gaza. Turut serta Aima Insyirah dan mujahadah-mujahadah lain, mereka di arah ke pusat tahanan wanita Palestin. Leftenan Harithah Fadhallah mengetuai Zon B bersama Leftenan Major Ameer Hussaini.
Askar rejim Zionis yang terlena, dimandikan dengan semburan odour-poisonous. Bagai tangki gas yang bocor merebak ke seluruh ruang udara. Pengawal di pusat kawalan dihapuskan. Odour-poisonous menyerang
sistem saraf utama dengan cepat, memberikan kekejangan otot dan mati dalam 30 saat. Pintu penjara dihancurkan, bom C4 dilemparkan. Pintu-pintu jeriji bilik tahanan turut dimusnahkan.
Tiba-tiba siren amaran berbunyi. Bising dan kuat membingitkan gegendang telinga. Suasana menjadi cemas di Penjara Ghaza. Aima Insyirah kaget.
“Kenapa Jeneral Rifa’il? Apa yang berlaku? Bukankah kita telah hapuskan semua sistem kawalan?”
Tanya Aima Insyirah bertalu-talu. Mujahadah lain pucat. Bimbang.
Jeneral Rifa’il mengerutkan dahi. Berfikir. Perlu tangkas bertindak! Operasi membebaskan pejuang di Penjara Gaza sudah dikesan di pusat kawalan rejim Zionis.
Aima Insyirah, Jeneral Rifa’il dan ramai lagi pejuang
Ayubi terperangkap di dalam penjara. Trak-trak pengangkutan dibom. Suara jeritan dan mengerang kesakitan jelas kedengaran. Mayat hitam yang rentung bergelimpangan di sana sini.
Ramai tentera Ayubi yang syahid, terkena bedilan kereta kebal rejim Zionis. Suasana sebelum Subuh didendangkan dengan bunyi tembakan. Ramai tahanan terkorban.
Jeneral Rifa’il mengarahkan Aima Insyirah segera melarikan diri dan menyelamatkan diri. Jantung Aima Insyirah berdegup dengan penuh kencang. Serasa seluruh tubuhnya menggigil-gigil, sejuk kaku dibasahi rejap peluh memenuhi wajah cemasnya. Tidak pernah seumur hidupnya, berhadapan dengan ancaman maut. Tidak pernah dia merasai ketakutan yang teramat sangat... sangat takut! Ketakutan itu tidak pernah dialami
sebelum ini. Keringat mengalir deras.
"Ya Allah, beginikah ketakutan setiap hari yang dirasai oleh hamba-hambaMu di bumi Palestin ini?” Dadanya sebak, ubunnya mencucuk-cucuk, manik jernih mula menuruni pipinya. Antara sebak dan ketakutan. Semuanya memenuhi ruang hatinya.
Lutut Aima Insyirah semakin kuat menggigil. Lariannya bagaikan mahu terhenti. Derapannya terasa terlalu sukar dan payah.
"Allahu Ahad! Allahu Ahad!” tangisan ketakutan Aima Insyirah tidak terbendung lagi. Samar pandangannya
dikaburi lebatnya titisan air mata. Asma’ Allah tidak henti-henti menghiasi kalamnya. "Allah, berikan aku kekuatan... Bantu aku Ya Allah... Allah... Allah...” Aima Insyirah terus berusaha membina kekuatan, menghimpunkan segala kudrat yang ada bagi mempercepatkan
langkahnya Hayunan langkahnya dirasakan semakin ringan. Aima Insyirah terus berlari selaju mungkin tanpa menoleh
ke belakang. Dia sedar, ada laknatullah mengejarnya
dari belakang. Tiada apa, tiada siapa lagi yang boleh menyelamatkannya di saat genting itu, melainkan
hanya Allah. Hanya Allah. Aima Insyirah tidak mempedulikan apa-apa lagi. Dia berlari dan terus berlari
tanpa henti dengan kekuatan Allah mengiringi.
Tiba-tiba, buk!! Kaki Aima Insyirah terlanggar objek keras. Aima Insyirah jatuh tersungkur. Kepalanya terhantuk pada batuan-batuan kasar. Mukanya tersembam.
Pasir dan debu-debu halus menerjah ke seluruh permukaan korneanya. Kakinya terasa perit. Cecair pekat merah tidak berhenti mengalir di celah-celah jari kaki dan dahinya.
Aima Insyirah berusaha keras untuk bangkit. Dahinya berdenyut-denyut kuat. Pedih! Perit di kedua mata ditahan kesakitan. Kabur pandangan. Rembesan cecair mata mengalir menahan kepedihan. Tangan Aima Insyirah sempat meraba-raba mendapatkan sesuatu
di but dalam keadaan terengsot-engsot. Bom tangan pantas digapai, sepantas kilat segera dilemparkan
bom itu ke arah musuh dari arah belakang. Tangan Aima Insyirah menggeletar hebat. Namun dia puas!
Bom!! Bom!!!! Pang!! Pang!!!
"Arghhhh!!!” Aima Insyirah mengerang kesakitan. Tangan kirinya cedera parah. Tertusuk peluru bedilan laknatullah.
"Allah... Allah...” Pandangan Aima Insyirah berpinar-pinar. Kabut hitam memenuhi seluruh ruangan
penglihatan. Suasana menjadi gelap gelita. Kelam...

Tuesday, April 7, 2009

Bab 8 : Tazkir Mujahidah

Assalamualaikum warahmatullah anak-anak ibu yang dikasihi,

Ibu bangga dengan api perjuangan anak-anak, moga semangat ini terus membakar semarak api. Tetapi anak-anak, di sini ibu ingin ingatkan, dalam berjuang, pastikan hubungan kita dengan Allah dijaga. Ingin ibu tekankan tentang solat malam yang menjadi penggerak utama kebangunan Nubuwwah. Ia merupakan bekalan para Mukmin dengan potensi dan daya juang yang tidak dapat digambarkan hebatnya.

“Dalam surah al-Muzammil ayat 6, ada mengatakan: “Sesungguhnya jiwa (orang) yang terbentuk di waktu malam itu lebih mantap (keperibadiannya) dan lebih jitu kata-katanya.”

“Diriwayatkan ketika jibril datang bertemu Rasullah, lalu berkata kepada baginda:

Hai Muhammad, hiduplah seperti mana yang engkau mahu, namun engkau pasti mati. Berbuatlah apa yang engkau mahu, namun engkau akan berpisah dengannya. Ketahuilah bahawa keutamaan seseorang Mukmin ialah qiam al-lail (sembahyang malam) manakala kemuliaannya ialah sikap berdikari (tidak bergantung kepada orang lain).”

“Anak-anak yang dikasihi, ibu harap anak-anak nampak dan jelas kepentingan solat malam dalam membentuk para daie yang berjiwa Rabbani. Apa yang dikatakan Rabbani itu? Ia adalah berhubung dengan hubungan hati dan jiwa kepada Allah, mempunyai hati yang peka, kewaspadaan yang tinggi serta kekritisan daya fikir. Ingatlah anak-anak, alangkah hebatnya kurnia dan ganjaran yang diberikan. Dengan beberapa rakaat solat yang dikerjakan di waktu malam, ia boleh selamat dari seksa kubur, kesepian dan kelengangannya. Kubur itu adalah anak tangga pertama ke akhirat. Jika seseorang boleh selamat dari seksanya, maka peringkat selepas itu adalah lebih mudah. Tetapi kalau ia tidak selamat, maka apa yang akan dihadapinya selepas itu akan lebih payah.”

“Anak-anak ibu yang disayangi, ibu harap anak-anak terus istiqamah dalam perjuangan. Ingatlah kesusahan yang diiringi dengan kesabaran, usaha, doa dan tawakal adalah bunga-bunga kejayaan. Janganlah ada di kalangan anak-anak ibu yang mengabaikan hubungan yang intim dengan Allah hanya kerana sibuk dengan strategi perjuangan. Sekian sahaja dari ibu, Assalamualaikum!”

Pengisian Ibu Fatimah, rutin mingguan gerakan Mujahidah berakhir. Ibu Fatimah memerhatikan Aima Insyirah tidak kelihatan. Tidak pernah Aima Insyirah tidak hadir mesyuarat. Kalau ada hal penting, Aima Insyirah akan memaklumkannya terlebih dahulu. Humaira dan Azzahra juga tidak tahu kenapa Aima Insyirah tidak hadir. Masing-masing tertanya-tanya.

………………………………

Rindu pada umi dan walid hadir. Bila dalam kelemahan, kata-kata nasihat dan belaian umi dan walid didambakan. Aima Insyirah tidak tahu mengapa dia begitu lemah. Lemah menghadapi ujian hati, tanpa dia pinta ada secebis harapan diletakkan dalam hatinya kepada insan bernama Naufal Mustaqim. Walaupun tanpa mengenal rupa ketika telah dewasa, tidak mengetahui bagaimana akhlaknya kini tetapi cebisan kenangan silam membuatkan hatinya bergetar apabila terlintas nama unik itu di fikirannya. Benarlah ungkapan, cinta itu hadir tanpa dipinta, cinta itu berputik tanpa disangka. Hanya sebagai hambanya, perlu bijak meletakkan anugerah cinta itu sesuai di tempatnya.

“Umi, walid, Aima perlukan kekuatan. Aima lemah dalam keseorangan. Apa yang perlu Aima buat umi? Bagaimana cara untuk Aima mengatasinya walid?” Bingkai fotonya bersama umi dan walid digapai.

“Aima rindu pelukan umi yang menenangkan. Aima rindu nasihat walid yang mendamaikan. Tolong Aima, umi..walid..” Bingkai foto mula basah. Dilihat gambarnya bersama umi dan walid, wajahnya ketika itu penuh ceria dan kegembiraan.

“Oh diri, mengapa engkau tidak mampu melawannya. Mengapa engkau tidak cuba untuk menjadi seceria seperti dahulu. Engkau perlu mengatasinya. Pasti boleh, Aima Insyirah!” Aima Insyirah bermonolog sendirian, mencari kekuatan, mendorong diri.

“Assalamualaikum,” bunyi salam menyentakkan Aima Insyirah yang hanyut dalam dunianya sendiri.

“Waalaikumussalam!” Jawab Aima Insyirah dalam kekalutan. Dirinya tidak bersedia menerima tetamu ketika ini.

Bab 7 : Ujian Hati

Jam menunjukkan pukul 11 malam. Aima Insyirah pulang ke penempatan Mujahadah. Kelihatan Azzahra belum tidur, menantinya mungkin.

“Zahra, kenapa belum tidur lagi? Esok pagi perlu ke kuliah.” Aima Insyirah merapati Azzahra.

“Zahra tunggu kakak. Penat Zahra tunggu.” Azzahra menarik muka protes. Aima Insyirah hanya tersenyum. Mengawal diri daripada ketawa meletus. Lucu dengan gelagat adiknya yang seorang ini, mudah merajuk dan manja.

“Tidak perlulah tunggu kakak lain kali. Ada apa-apa yang Zahra mahu bincang dengan kakak?” Kerutan dahi Aima Insyirah mempamerkan persoalan. Azzahra diam seketika.

“Eh, tidak ada apa-apalah. Saja mahu jumpa kakak sebelum tidur. Manalah tahu esok tidak berkesempatan lagi,” bicara Azzahra menyorokkan sesuatu. Matanya dialihkan daripada Aima Insyirah, yang dapat mengesan ada perkara mengganggu konsentrasi Azzahra.

“Kalau macam itu, mari kita bersihkan diri, solat sunat taubat dan witir bersama sebelum tidur. Bila Zahra sudah bersedia untuk ceritakan kepada kakak, cakaplah. Kakak sedia mendengarnya,” Aima Insyirah meleraikan persoalan di kepalanya. Tidak ingin memaksa Azzahra.

Azzahra memandang tepat ke bola mata Aima Insyirah, tidak menyangka Aima Insyirah dapat menyelami kekusutan di fikirannya. Dia tersenyum hambar dan tunduk. Azzahra menuruti Aima Insyirah berwuduk.

………………………………………………………

Aima Insyirah tersedar dari tidurnya, bunyi bising di luar mengganggunya. Digapai handsetnya, pukul 3.45 pagi. Kepalanya dilitup, lampu suluh di bawa untuk meninjau keadaan di luar.

“Isyy, anjing-anjing Zionis mana tersesat ke sini,” gusar Aima Insyirah. Kelihatan beberapa ekor anjing mencari makanan di tempat pembuangan sampah. Mujurlah hanya anjing, kebimbangan Aima Insyirah sedikit reda. Dalam situasi yang sentiasa mengancam, pelbagai perkara boleh berlaku.

“Alhamdulillah,” tahmid Aima Insyirah, kembali ke khemah. Seketika, fikiran Aima Insyirah ligat berputar mengingati sesuatu. Gambaran itu masih jelas di kotak mindanya. Tidurnya sebentar tadi didatangi seorang pemuda bersih wajahnya, penuh ketenangan dan obor semangat perjuangan Islam sirna di matanya. Pemuda itu mendekatinya ketika dia bersama walid dan umi.

“Salam taaruf, saya Naufal Mustaqim,” senyuman terukir. Menawan. Huluran salam disambut walid. Aima Insyirah memandang umi kehairanan. Umi sekadar mengangguk dan tersenyum. Pemuda itu memandangnya dan sedikit demi sedikit hilang daripada pandangan.

“Astaghfirullahalazim, kenapa dia hadir dalam tidurku?” Tidak terlintas di fikiran Aima Insyirah tentang sahabatnya itu. Apatah lagi memikirkannya hingga membawa ke dalam lena. Aima Insyirah menyucikan diri, masih berkesempatan untuk berqiamulail. Hatinya tidak tenang, terganggu dengan mimpinya bertemu Naufal Mustaqim setelah enam tahun terpisah.

“Begitukah rupa Naufal Mustaqim sekarang?” Aima Insyirah mengandaikan. Aima Insyirah cepat-cepat menghilangkan andaian sebegitu, bimbang nafsu menguasainya dan membuatkannya lalai.

Solat tahajud, sunat taubat, tasbih dan hajat selesai dilaksanakan. Aima Insyirah mengalunkan zikir dan membaca ayat suci al-Quran. Ayat-ayat lazim dibacanya.

“Demi nafsu (manusia) dan yang menyempurnakan ciptaannya, lalu diilhamkan Allah kepadanya (jiwa manusia) mana yang buruk dan mana yang baik, sesungguhnya mendapat kemenangan bagi orang yang menyucikan hatinya dan rugilah orang yang mengotorinya.” (asy-Syam: 7-10)

Air mata Aima Insyirah menitis tanpa dipinta, peringatan Allah itu menghiris kalbunya, seperti teguran Allah buat dirinya. Mengapa dia perlu memikirkan tentang mainan tidur, yang mungkin hanyalah daripada syaitan. Sayup-sayup kedengaran azan Subuh berkumandang. Aima Insyirah mengesat manik jernih yang mengalir, bangkit untuk memperbaharui wuduknya. Azzahra dan ibu Fatimah telah berada di khemah solat, menanti yang lain untuk berjemaah. Solat Subuh diimami oleh Humaira, bacaan yang merdu dan menenangkan. Majlis ibadah di pagi hening itu disudahi dengan bacaan almathurat kubra dan tazkirah oleh Aima Insyirah. Terkejut Aima Insyirah dijemput memberi sedikit tazkirah sedangkan dirinya dalam keadaan yang tidak tenang. Aima Insyirah cuba menyampaikan yang termampu. “Mungkin ini cara Allah ingin tarbiyah diriku,” bisik Aima Insyirah sendiri.

Allah berfirman, mafhumnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh di medan perjuangan, dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya mencapai kemenangan.” (Ali Imran: 200)

“Rasulullah adalah contoh ikutan yang paling baik. Baginda tetap bekerja dan berjihad untuk mencapai tujuannya sekali pun terpaksa menempuh pelbagai halangan dan kesusahan, pelbagai godaan dan ancaman. Para sahabat telah ditarbiah dengan petunjuk nabi, mereka sabar dan thabat, tidak merasa lemah dan berputus asa sehinggalah mereka bertemu dengan Allah. Kita yang meneruskan perjuangan ini, perlu kuat, ujian yang kita hadapi bukanlah sehebat ujian para anbia dan sahabat-sahabat. Siapalah kita berbanding dengan habibullah dan para sahabat. Wallahualam. Semoga dapat kita muhasabah bersama, memperbaiki diri dan ikhlaskan niat dalam perjuangan ini.”

Saat selesai berkongsi sedikit ilmu buat pedoman bersama, dia merasa sedikit tenang. Allah Maha Mengetahui. Pastinya tazkirah sebentar tadi untuk peringatan dirinya sendiri. Moga setiap butir bicara yang dituturkan sebentar tadi menjadi peringatan buatnya. Aima Insyirah menyeka air mata yang mula bertapak di pipinya. ‘Mengapa mudahnya air mata ini mengalir.’ Getus hatinya.

Bab 6 : Sebuah Taklifan

“Ingatlah kalimah masyhur baginda Nabi terhadap bapa saudaranya: Demi Allah wahai bapa saudaraku, sekiranya mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku sebagai tawaran agar aku meninggalkan urusan dakwahku ini, aku tidak akan meninggalkannya sehinggalah Allah mengurniakan kemenangan ataupun aku dibinasakan kerananya. Sematkanlah di hatimu wahai jundullah akan peringatan ini. Ayuhlah kita sama-sama berdoa, meminta Allah thabatkan hati kita dalam perjuangan ini sehingga tiba ketentuannya.”

Tazkirah Abi Yussof semalam masih diingati Aima Insyirah. Cukup memberkas di jiwa. Kata-kata dengan tiupan roh mampu menggegarkan jiwa sesiapa yang mendengarnya.

“Aima Insyirah, kamu adalah penolong utama Ibu Fatimah, Leftenan Jeneral Mujahadah.” Taklifan itu mengganggu jiwa Aima Insyirah. Takut dengan amanah yang diberikan. Tetapi memang itulah cita-citanya, menjadi pejuang mujahidah melawan Zionis kuffar. Beberapa tahun di bumi al-Quds, bersama umi dan walid, Aima Insyirah semakin memahami Palestin, geografi, topologi dan krisis-krisis di Palestin. Umi dan walid banyak mendidiknya. Ibu Fatimah, Humaira banyak membantunya. Idea-idea Aima Insyirah sepanjang mesyuarat tadi banyak dapat diterima, dia semakin matang.

“Alhamdulillah, semoga nusroh Allah sentiasa bersama,” bisik Aima Insyirah.

Jadual tugasan harian disemak. Awal-awal pagi Aima Insyarah sudah tiba di pejabatnya. Dr Khaleeja baru sampai. Humaira belum kelihatan. Fail-fail yang berselerak disusun rapi, disemak kes-kes trauma yang setiap hari berlaku. Di mana-mana sahaja pasti ada bedilan, tembakan penceroboh laknatullah yang tidak berperikemanusiaan.

Jadualnya padat. Malam ini mesyuarat gerakan Mujahadah, perkemaskan strategi. Dalam gerakan Mujahadah, terdapat empat pusat utama:

(i) Pusat rawatan & trauma

(ii) Pusat bekalan makanan dan pakaian

(iii) Pusat asuhan Islami (kanak-kanak berusia 4-12 tahun)

(iv) Pusat penyelidikan dan teknologi

Semuanya terletak di penempatan Kem Mujahadah kecuali pusat penyelidikan & teknologi. Sistem kawalan dan keselamatan Kem Mujahadah dikawal oleh gerakan Assoff. Asmah menguruskan pusat bekalan makanan & pakaian, manakala pusat asuhan Islami diuruskan oleh Ibu Fatimah. Aima Insyirah dan Humaira di pusat rawatan & trauma dengan bantuan beberapa orang doktor. Ramai ibu-ibu dan anak gadis yang turut sama berkhidmat, membangunkan Kem Mujahadah, menguruskan kebajikan wanita dan anak-anak Palestin walaupun hakikat kehidupan mereka sangat buruk dan teruk.

“Kak Aima, Ammar ada cerita best!” Kanak-kanak kecil itu menerpa Aima Insyirah. Dia terkejut.

“Ammar masuk tidak beri salam, ya?” Hidung mancung Ammar dipicitnya, senyum. Kanak-kanak ini seperti adiknya sendiri, sayangnya semakin bertambah. Anak yatim, kasihnya jarak antara dua jari sahaja. Kepintaran dan telatah Ammar menghiburkan hati. Nakalnya bermakna, kata-kata si cilik muda penuh dengan semangat perjuangan. Dalam usia lapan tahun, apalah yang dimengertikan oleh seorang kanak-kanak? Tetapi ia berbeza dengan Ammar.

Errm, Ammar lupalah. Tidak sabar hendak jumpa Kak Aima!” Ammar menggaru-garu kepalanya, tersipu.

“Yalah sayang. Apa cerita best itu? Cepatlah cerita, tidak sabar kakak hendak tahu.” Ammar diangkat ke atas mejanya.

“Beratnya!” Aima Insyirah mengusik. Barisan gigi Ammar terserlah.

“Semalam Ammar dan kawan-kawan buat satu plan best. Kami jalan-jalan kutip batu-batu. Kami mahu simpan, kumpul banyak-banyak. Nanti senang nak serang askar putih yang jahat itu. Banyak sangat kami dapat kutip,” Muncung mulut Ammar bercerita, dengan penuh gaya.

Aima tergelak. “Banyak mana, Ammar?”

“Banyaklah, sebesar ini,” tangannya didepa luas.

“Bila Ammar dan kawan-kawan mahu serang askar putih yang jahat itu?” Aima Insyirah terus melayan Ammar. Seronok.

“Tidak tahu, tetapi bila-bila masa sahaja. Bila mereka serang kita, Ammar dan kawan-kawan akan serang balik nanti. Biar mereka takut sampai mati. Bestkan, Kak Aima?” Mata Ammar bercahaya, ada semangat.

Hati Aima Insyirah tersentuh. Rasa segan dengan diri dewasa. Kanak kecil bersamanya itu lebih besar jiwanya.

“Sekarang ini Ammar, kita sudah tidak guna batu tahu,” giliran Aima Insyirah pula bercerita.

“Sudah itu hendak guna apa?” Mulut Ammar muncung. Comel.

“Kita guna pistol air.”

“Pistol air? Pistol air tidak sakit. Lebih baik guna batu. Tetapi….” Kaki Ammar berayun-ayun.

“Tetapi apa, Ammar?” Tanya Aima Insyirah.

“Kalau pistol air beracun, ha, barulah best.Gigi susu Ammar kelihatan. Senyum.

“Bijak Ammar ini.” Aima Insyirah memuji.

Itu dalam perancangan strategi. Ternyata Ammar memang kanak-kanak pintar dan strategis.

“Ammar mahu cerita satu lagi,” dahi Ammar berkerut. Seperti berfikir.

“Semalam Ammar mimpi, ada 2-3 orang lelaki berlari, dikejar oleh askar bersenjata. Keadaan bising sangat. Bunyi tembakan menakutkan Ammar. Tetapi lelaki-lelaki itu hilang, tidak tahu ke mana. Ammar tidak nampak. Nampak askar-askar itu marah-marah. Hodoh.” Muka Ammar muram.

“Ammar takutkah?”

Ammar menggeleng-gelengkan kepala.

“Tidak takut tetapi Ammar rasa pelik.”

“Pelik?”

“Aah, Ammar pun tidak tahu kenapa.”

“Ammar tidak wuduk sebelum tidur agaknya,” Aima Insyirah cuba membangkitkan suasana suram itu.

“Wuduk, Ammar baca ayat kursi, tiga qul lagi. Doa tidur pun.” Jelas Ammar.

Aima Insyirah tahu. Tarbiyah Ammar lengkap. Kanak-kanak di sini dididik dengan hebat. Sejak kecil telah dididik menghafaz al-Quran. Ammar pun sebegitu.

Mimpi Ammar hakikatnya menjadi tanda tanya. Tapi sekadar dibiarkan. Mungkin Ammar masih trauma dengan peristiwa yang menimpa keluarganya.

Bab 5 : Pertemuan Pertama

Aima Insyirah melangkah ke satu tempat asing. Ibu Fatimah dan Azzahra bersama, sejak tadi hanya membisu. Ingin ditanya tetapi dibatalkan. Mungkin Ibu Fatimah belum bersedia untuk bercerita. Perjalanan yang agak lama sedikit memenatkan. Pintu utama terbuka, tiada siapa yang menyambut kedatangan mereka, hanya terdengar suara Ibu Fatimah berkata beberapa patah perkataan yang tidak difahami pada alat penggera. Suasana sunyi tetapi cukup canggih, buatkan Aima Insyirah terpesona. Di dinding sekeliling seperti cermin, bila disentuh kenyal seperti getah. Hiasan dalaman cukup unik, kalimah agung elektronik menghiasi sekeliling digerakkan secara automatik, elektronik. Mereka menuju ke sebuah bilik, kelihatan dua orang sedang menanti. Lantas tersenyum dan tunduk hormat kepada mereka.

“Bapa menyambut kehadiran askar rejim Zionis itu dan menyuruh mereka duduk. Salah seorang daripada mereka berkata yang mereka mahu mengambil segala apa yang ada.”

Ibu bertanya kenapa mereka mahu segala-galanya setelah mengambil barang yang paling berharga iaitu tanah air kami?

Jawab mereka, “Kamu tengok apa lagi yang aku akan ambil. Aku akan mengambil kamu dan adik perempuan kamu.”

“Bapa merayu kepadanya untuk mengambil segala-galanya kecuali anak-anaknya. Bapa ditumbuk mukanya dan mula berdarah. Ibu tidak dapat mengawal diri dan memekik di depan askar-askar itu, bertanya mengapa mereka sanggup memukul seorang lelaki tua. Ibu dipukul dan ditolak dengan kasar ke tanah. Apabila terasa sakit, ibu memukul balik askar itu. Mereka merampas wang kami dan semua barangan berharga termasuk cincin perkahwinan bapa.”

“Salah seorang daripada mereka berteriak dan memberi arahan supaya kami dibawa masuk ke dalam bilik, kami diarahkan berdiri dekat dinding dengan tangan kami diangkat di atas kepala dan membelakangi mereka. Mereka memerintahkan kami jangan melihat ke belakang. Adik ibu, Shania yang berusia satu setengah tahun mengangkat tangannya sambil memanggil umi kerana ketakutan. Mereka mula menembak kami. Adik bongsu ibu, seorang bayi ditembak di kepala dan otaknya memercik ke atas kami. Bapa ditembak dijantungnya tetapi masih bernyawa. Adik lelaki, Fuad 3 tahun, Baser 8, Mo’az 11 dan adik perempuan, Sarah, 7 dan Shania serta jiran kami mati dengan serta-merta.”

Batuk ibu Khaulah kedengaran. Keras. Bicaranya terhenti. Matanya merenung sesuatu, jauh. Hening. Kosong. Tanpa perasaan. Dada Aima Insyirah bagaikan mahu pecah, sebak, benci, mual semuanya bersatu.

“Aduh!” Erangan Azzahra mengejutkan Aima. Tanpa sedar, tangan mulus Azzahra menjadi mangsanya. Luahan kebencian di hati.

“Maaf!” Hanya itu yang terlontar di bibir Aima. Azzahra senyum nipis, kembali hilang di dunianya.

Ibu Khaulah menyambung lagi. “Adik lelaki ibu, Mohd, 15 dan Ibrahim, 9, terselamat kerana mereka menyorok di dalam bilik air. Umi ibu dan adik perempuan, Noha 16, tercedera. Ibu lumpuh serta-merta, tidak dapat bergerak. Askar-askar itu fikir kami semua telah mati lalu meninggalkan rumah kami. Ibu mula menjerit-jerit bertanyakan siapa yang masih hidup. Umi, Noha, Mohd dan Ibrahim menjawab. Kemudian bapa menyahut, tetapi cedera parah. Ibu menyuruh mereka semua melarikan diri dan menghantar seseorang untuk menyelamatkan kami. Jadi mereka lari dan tinggallah ibu dan bapa ibu yang tercedera, dikelilingi ahli keluarga yang sudah menjadi mayat. Keadaan yang menggerunkan itu tidak akan dapat ibu lupakan sepanjang hayat.

Batuk ibu Khaulah kedengaran lagi, air kosong diteguknya. Matanya rapat terpejam. Ibu Fatimah mendekati ibu Khaulah, menenangkan.”

“Ibu berada di hospital selama empat tahun dan telah enam kali menjalani pembedahan. Ibu meninggalkan Shatila. Sehingga kini, ibu tidak mengetahui ahli keluarga ibu yang lain, di mana mereka sama ada masih hidup atau tidak. Telah lama berlalu. Kadang-kadang ibu menggunakan kasut roda khas dan tongkat untuk bergerak. Perlahan-lahan ibu mulakan kehidupan baru, cari semangat. Dan kini ibu di sini, bersama semangat dan matlamat. Sudah hampir 20 tahun ibu di sini.”

Kerusi roda automatik meluncur ke sebuah meja. Air mata Aima Insyirah mengalir laju. Sebak. Betapa beratnya penderitaan ibu Khaulah. Seksanya kehidupan wanita Palestin. Hebatnya ujian kehidupan rakyat Palestin. Sebak di dadanya tidak tertahan. Wajah umi dan walid berlegar-legar di matanya.

“Mari anakku, ibu tunjukkan hasil gerak kerja Gerakan Mujahadah selama ini,” Ibu Khaulah menarik tangan Aima Insyirah dan Azzahra. Skrin besar di hadapan terpancar. Ibu Khaulah, ibu Fatimah dan pakar-pakar bahagian defensive technology telah lama membangunkan sistem ini. Sejak tahun 1996, selepas tertubuhnya Briged Ayyubi pada tahun 1992. Gerakan Mujahadah membantu Gerakan Assoff dari sudut defensive technology yang meliputi senjata beracun, bekalan-bekalan pil untuk kekuatan pejuang dan banyak lagi.

Aima Insyirah kagum. Azzahra sendiri selaku pakar IT selama ini, tidak tahu semua sistem yang dibangunkan oleh Gerakan Mujahadah, walaupun tiga jabatan utama berada di bawah Pusat Penyelidikan & Teknologi iaitu defensive technology, information technology dan intelligence agent. Ibu Khaulah dan ibu Fatimah mungkin ada sebabnya tersendiri dan maslahahnya untuk tidak memberitahu Azzahra.

Pintu terbuka, ada beberapa orang pemuda hadir. Aima Insyirah dan Azzahra serentak menoleh. Tiga orang pemuda melangkah masuk mendatangi mereka. Seorang lelaki berserban, janggut memutih dan bertongkat tersenyum melihat mereka.

“Assalamualaikum.” Lelaki itu menyapa bersama tiga pemuda tersebut. Aima Insyirah cuba mengingati, seorang pemuda itu seperti pernah bersua. Rifa'il Zanki, nama itu terluncur dari bibirnya. Dia mula ingat. Pemuda itulah Jeneral Briged Ayyubi. Dia pernah bersama ibu Fatimah dan Humaira menghadiri perbincangan bahagian strategik dengan Gerakan Assoff sebelum ini. Dua orang lagi pemuda itu turut bersama, pimpinan utama Briged Ayyubi. Aima Insyirah tidak dapat mengingati nama mereka.

“Ini Abi Yussof, Ketua Assoft. Ini Rifail Zanki, Jeneral Ayyubi. Ini Leftenan Jeneral Harithah Fadlallah, dan ini Leftenan Major Ameer Hussaini. Aima kenal, bukan? Terutama Abi Yussof, seluruh dunia kenal akan dia,” Ibu Khaulah memperkenalkan.

Aima Insyirah senyum. Sedikit kelat. Agak malu. Baru tersedar itulah pemimpin hebat Assoff, Syeikh Yussof yang disegani dunia. Tidak sangka dapat bertemu ulama hebat. Tetapi inilah matlamat dia di Palestin, menyertai gerakan Mujahadah dan Assoff. Azzahra dan ibu Fatimah menahan ketawa melihat gelagat Aima Insyirah. Lucu dengan muka terkejutnya.

“Ahlan Aima Insyirah,” Jeneral Rifa'il Zanki bersuara. Mengalukan kedatangannya.

“Syukran,” jawab Aima Insyirah ringkas. Agak terharu. Dia mula sedar, pertemuan ini adalah sesuatu yang besar dalam hidupnya. Membawa misi yang besar. Misi seluruh umat Islam. Sebelum ini, dia selalu bersama ibu Fatimah, fasa latihan sebelum terlibat secara langsung dengan dua gerakan utama ini, merancang dan melancarkan strategi.

“Walaupun tidak lengkap tanpa Humaira dan Asmah, tetapi harapnya perbincangan kita dapat diteruskan. Saya mohon maaf bagi pihak Mujahadah kepada Assoff, terutamanya Abi Yussof,” Ibu Fatimah memulakan.

“Tidak mengapa ibu Fatimah, kita teruskan dengan yang ada. Masing-masing ada taklifan tersendiri.” Tenang suara Abi Yussof. Memahami.


Bab 4 : Khalifah Ilahi

Sri Damansrara, Kuala Lumpur, Malaysia

Meow! Kucing putih bertompok coklat menjerit. “Allahuakbar!” Naufal Mustaqim terkejut. Kasihan dia tengok si kucing menjerit kesakitan. Mana tidak sakit, bila ekornya dipijak. “Maaf tompok, aku tidak sengaja.” Bisik Naufal Mustaqim sambil mengusap kepala tompok. 'Meow.' Si Tompok merengek meminta simpati.

Naufal Mustaqim bersandar pada kerusi kepenatan. Begitulah rutin hariannya, pulang ke rumah pukul 10 malam setiap hari. Fikirannya jauh menerawang memikirkan keadaan umat Islam di sekelilingnya. Terlalu jauh bezanya, bagai langit dan bumi, umat Islam Palestin sanggup menggadai nyawa untuk Islam. Tetapi umat Islam di sini, menggadai nyawa untuk keluar dari Islam, sanggup menggadai maruah untuk hidup bersenang lenang. “Ya Allah, beratnya amanah yang perlu aku pikul,” keluh Naufal Mustaqim.

Cantik perempuan itu, kulitnya putih, bibirnya bak delima, matanya bundar bersinar indah, subhanallah, indahnya ciptaan Allah. Naufal Mustaqim seolah-olah terpesona dengan kecantikan yang dilihatnya.

“Shery!” Seorang lelaki kacukan melambai-lambai. Shery berpaling dan tersenyum. Dua tangan saling bertaut. Shery melentokkan kepalanya ke bahu lelaki kacukan itu. Mereka berlalu. Terdengar rengekan manja Shery dan ketawa besar pasangannya.

Suasana hiruk-pikuk, suara penyanyi kelab malam dirasakan terlalu sumbang. Bunyi muzik yang kuat bagaikan ingin memecah gegendang telinga. Lampu bercahaya kuning, hijau, merah dan biru terpancar menyilaukan mata. Shery dan lelaki pasangannya makin ligat mengikut rentak. Maksyuk!

“Richard! Come here!” seorang lelaki memanggil. Richard memaut lengan Shery dan berjalan terhuyung-hayang ke arah lelaki tersebut. Richard mengambil sebotol Chivas Regal Revolve Scotch Whiskey. Shery menghulurkan gelas kosong. Isi botol dicampurkan sedikit dengan cola. Satu persatu gelas diisi.

Cheers! Mereka ketawa besar.

Plluupp! Minuman keras itu membakar anak tekak. Muka Shery kemerah-merahan tetapi arak masih diteguk terus-terusan. Richard mengusap-usap rambut Shery, bangga. Shery dari keluarga Islam tetapi dia mudah sahaja ditumpaskan.

Richard membakar sebatang rokok, menghembuskan asap berkepul-kepul ke arah kawan-kawannya.

“Richard, don’t you want to dance?” Tanya Remy. Tangannya memeluk erat gadis seksi di sisinya. Richard membulatkan matanya, dilihatnya tubuh Remy sekejap kecil, sekejap besar. Terasa kepalanya berpusing-pusing. Dia menggeleng-gelengkan kepala. Remy berlalu pergi, menari dengan lebih terkinja-kinja.

'Waiter!' Jerit Richard. Dia membisikkan sesuatu, sambil menjeling ke arah Shery yang telah lentok di bahunya. Waiter berlalu dan kembali membawa segelas wiski. Tangan Richard terketar-ketar membawakan gelas itu ke mulut Shery, pluup! Shery menghirup sekali harung.

Mata Shery berpinar-pinar, gelap. Richard tersenyum puas. Shery diangkat. Mereka berlalu, hilang dari pandangan.

“Qim, bangun Qim.” Izzudin menggoncangkan tubuh Naufal Mustaqim.

“Qim, bangun! Engkau sudah solat Isyak?” Naufal Mustaqim terkejut.

“Astaghfirullahalazim,” Naufal Mustaqim mengusap mukanya. Mimpi tadi hilang. Sungguh dahsyat. “Ya Allah, hebatnya ujianmu. Adakah ini petanda bahawa tanggungjawabku semakin besar. Ya Allah, permudahkanlah segala urusanku. Aku tahu mimpi ini satu petanda untukku menegakkan kalimah Tauhid di muka bumi ini.” Doa hatinya dengan penuh pengharapan. Naufal Mustaqim melonggarkan tali leher, melangkah longlai menuju ke bilik air, membersihkan diri dan mengambil wuduk.

Ya Allah, di malam yang sepi ini,

Kulihat dosa-dosa,

Mematikan segala hati,

Hinanya diriku, bergelumang dosa-dosa,

Sedangkan meninggalkan dosa-dosa,

Menyegarkan dan menghidupkan segala hati,

Kebaikanlah buat diri jika menentangnya.

Ya Allah,

Berat sungguh ujianmu,

Betapa ramainya umat

Lalai dengan suruhanmu,

Tidak segan silu melakukan maksiat.

Ya Allah,

Aku tahu, dosa-dosa itu juga tercalit kepada diriku,

Kerana menyaksikan maksiat saudara Islamku.

Oleh itu, ya Allah,

Engkau berikanlah aku kekuatan untuk membimbing saudaraku,

Andai aku lalai, Engkau berikanlah aku petunjuk ke jalan yang lurus.

Ke jalan yang Engkau redai

Sesungguhnya aku hamba yang lemah.

Ya Allah,

Engkau sinarilah hati-hati kami dengan cahaya keimananmu,

Naufal Mustaqim mengesat air matanya yang mengalir. Hatinya benar-benar sayu. Malam yang hening itu dihiasi dengan tangisan keinsafan dari seorang hamba yang kerdil kepada pencipta Yang Maha Agung.

Subhanallah, alhamdulillah, lailahaillallah, Allahuakbar, alunan zikir bergema. Naufal Mustaqim terus berzikir. Ada ketenangan di hatinya. Allah berfirman dalam surah ar-Ra’du: ayat 28.

“Hanya dengan mengingati Allah sahaja, hati-hati akan menjadi tenang.”

Hatinya sentiasa dijamu dengan santapan dan bekalan rohani sehingga menjadi Rabbani, jernih dan cerah dan sentiasa takut kepada Allah.

Naufal Mustaqim masih ingat, kekasih Allah, Nabi Muhammad telah mengajar kita cara menjaga hati supaya sentiasa subur dan bersih. Segala karat di hati akan hilang,dan hati akan menjadi peka. Setiap sesuatu ada penggilapnya, dan penggilap hati adalah zikrullah.

“Tasbih memenuhi separuh timbangan (mizan). Alhamdulillah, memenuhi seluruh timbangan manakala 'lailahaillallah' tidak ada pendinding antaranya dengan Allah sehingga ia terus menuju Allah,” Sabda junjungan mulia Rasulullah.

“Din, bangun! Engkau sudah qiam atau belum?” Kejut Naufal Mustaqim.

“Aku penat sangat. Sudah pukul berapa, Qim?” Izzudin menggeliat, cuba membuka matanya. Dia sedar syaitan menggodanya untuk terus tidur. Kalau diikutkan hati, mahu Izzudin sambung tidur tetapi dia cuba melawan nafsu dan godaan itu. Kata-kata Ustaz Fadhil terngiang-ngiang di telinganya: “Orang yang rajin bangun malam, dia akan selamat daripada kesengsaraan dan kesempitan kubur. Rasulullah pernah berkata: Apabila seseorang hendak menunaikan sembahyang malam, datanglah malaikat seraya berkata kepadanya: Bangunlah, hari telah pagi, sembahyang dan ingatlah Tuhanmu. Syaitan pun datang juga dan memujuknya. Malam masih panjang, engkau boleh tidur lagi, nanti engkau boleh bangun. Kalau dia bingkas dari tempat tidurnya bersembahyang, maka badannya akan menjadi ringan (cergas) dan sihat. Kalau dia patuh kepada syaitan, tidur hingga ke siang, syaitan akan kencing di dalam telinganya.”

Huh, aku tidak mahu kena kencing dek syaitan,” dia bingkas bangun.

“Alhamdulillah, bangun juga sahabat aku seorang ini. Dah pukul 5:30 pagi. Sempat lagi solat Tahajud. Cepatlah. Pukul 6 nanti masuk subuh, kita jemaah sekali.” Naufal Mustaqim memberi arahan seperti komander.

“Baiklah. Huh, macam bapak orang,” Izzudin bergurau. Terus melangkah ke bilik air. Memutuskan ikatan kedua syaitan dengan berwuduk.

Bab 3 : Si cilik, Ammar

“They kill my sister! I want to kill them!”

Aima Insyirah terkejut melihat seorang budak lelaki berusia lapan tahun memegang pisau dan menjerit-jerit dalam keadaan separa sedar. Dia membaca laporan kemasukan budak lelaki itu:

Ammar, 8, cedera di bahagian kepala dan kakaknya, Balqis, 10, mati dibunuh oleh askar rejim Zionis di bandar Anata berhampiran Baitul Maqdis. Balqis terbunuh setelah terkena tembakan peluru yang diselaputi getah namun pihak Zionis mendakwa Ammar dan kakaknya terkena batu lemparan penunjuk perasaan yang membaling batu-batu ke arah askar-askar mereka.

“Sungguh menjijikkan, kesalahan sendiri dilontarkan pada orang lain.” Cemuh Aima Insyirah kepada Humaira dengan rasa marah. Itulah Zionis dan inilah nasib rakyat Palestin setiap detik, setiap saat tanpa mengira tua atau muda, lelaki atau wanita. Namun, semangat jihad dalam hati rakyat Palestin tidak pernah luntur. Berbekalkan batu-batu, anak-anak kecil Palestin sentiasa bersedia dan berani untuk berhadapan bila-bila masa sahaja dengan askar-askar rejim Zionis yang lengkap bersenjata!

“Sayang, kenapa?” Aima Insyirah sengaja bertanya walaupun sedia maklum apa yang berlaku.

“Go away! Semua orang jahat! Semua orang mahu bunuh Ammar dan kakak Balqis!” Ammar menjerit, pisau di tangan diacukan. Berani. Matanya merah memandang. Aima Insyirah terkejut. Keadaan agak tidak terkawal. Masing-masing berhati-hati. Bimbang ada yang akan tercedera.

“Ammar, jangan macam ini. Kakak bukan orang jahat,” Aima Insyirah memujuk sedaya mungkin. Dia memberanikan diri, mendekati Ammar.

Zaapp! Cecair pekat merah mengalir.

“Aima!” Humaira terkejut. Pergelangan tangan Aima Insyirah mengalir darah, menitis ke lantai. Kerutan di dahi jelas kelihatan, Aima Insyirah menahan kesakitan. Ammar terpaku, mukanya pucat. Lidahnya kelu seribu bahasa. Pantas dia melarikan diri.

“Ammar!” Panggil Aima Insyirah menghalang. Sakitnya dia tahan. Dia bimbang jika Ammar terus bertindak di luar kawalan.

“Kamu pergi rawat luka dahulu, Aima. Ammar biar saya uruskan,” Humaira bimbang keadaan Aima. Darahnya semakin banyak keluar.

“Alhamdulillah, kecederaan kamu tidak terlalu serius tetapi hampir-hampir terkena urat nadi,” ujar Dr. Khaleeja. Pergelangan tangan Aima Insyirah dibalut.

“Terima kasih doktor,” Aima Insyirah menarik nafas lega. Allah masih panjangkan usiaku, bisiknya.

“Kamu terlalu berani, Aima. Kamu sepatutnya lebih berhati-hati. Situasi Ammar itu tidak terkawal,” Dr. Khaleeja menasihati.

“Keberanian dari Allah, doktor”. Jawab Aima Insyirah ringkas. Dr.Khaleeja seraya tersenyum mendengarkan kata-kata Aima. Satu jawapan hamba yang berpegang teguh dengan kalimah syahadah.

“Mana Ammar?” Mata Aima liar mencari Ammar. Setiap sudut diperhatikan. Namun tidak dijumpai.

“Saya sudah carinya tetapi tidak jumpa,” jelas Humaira. Suaranya bergetar, sedikit cemas. Tiba-tiba terdengar suara tangisan kecil. Aima Insyirah dan Humaira berpandangan. Mereka mencari, mendekati suara tangisan itu. Kelihatan Ammar di pelosok bawah katil, menangis teresak-esak. Aima mendekati. Humaira memberi isyarat berhati-hati.

“Ammar, mari dekat kakak, sayang,” Aima Insyirah menghulurkan tangannya untuk mengangkat Ammar. Mata Ammar memandang ke arah balutan di tangan kiri Aima Insyirah. Sedikit takut. Rasa bersalah menyelubungi hati kecilnya yang bersih.

“Ammar jangan takut. Kakak tidak marahkan Ammar,” kening Aima Insyirah terjungkit, tersenyum. Menampakkan lebih mesra. Dia tahu, Ammar rasa takut dan bersalah. Ada sinar di mata Ammar, ketenangan dan kepercayaan. Huluran tangan disambut. Aima Insyirah memeluk Ammar dengan penuh kasih sayang. Dahi Ammar dikucupnya.

“Alhamdulillah,” ujar Humaira. Aima Insyirah menganggukkan kepala dan tersenyum.

“Ammar mahu bunuh mereka. Mereka bunuh kakak Balqis,” rintih Ammar sayu.

“Kakak faham, sayang. Tetapi Ammar tidak boleh bunuh mereka dalam keadaan macam ini,” Aima Insyirah menenangkan Ammar. Sayu di hatinya. Kanak-kanak sekecil ini sudah hilang insan yang tersayang.

“Kenapa?”

“Sebab Ammar tidak sihat. Tengok kepala Ammar itu.” Aima Insyirah senyum pada Ammar. Dilihat Ammar menyentuh kepalanya yang berbalut. Ammar tunduk. Mula memahami.

“Kalau Ammar mahu bunuh mereka, Ammar kena sihat dahulu, baharulah kuat lawan mereka.”

“Ammar sayang kakak Balqis. Kenapa mereka sangat jahat?” Air mata Ammar menitis. Dia kesepian. Dia keseorangan. Dia rindukan kakaknya, Balqis.

Aima Insyirah mendakap erat Ammar, biarlah Ammar menangis agar dia merasa lebih tenang. Agar dia tahu ramai yang menyayanginya.

“Ammar tahu, kakak Aima dan kakak Humaira pun sayangkan Ammar dan Balqis. Sangat sayang. Dan yang paling utama Ammar perlu tahu ialah, Allah lebih menyayangi kakak Balqis sebab itu Allah mengambilnya. Sekarang kakak Balqis ada di dalam syurga. Dia tengah makan sedap-sedap, kalau kakak Balqis tahu Ammar tidak makan, mesti dia sedih. Ammar mesti makan,” Aima Insyirah memandang Ammar, memujuk. Ammar mengesat matanya. Ammar menggeleng kepala.

“Okey, kalau Ammar tidak mahu makan, Ammar boleh tidur,” Ammar diam. Aima Insyirah faham maksudnya. Ammar dipimpin ke katil. Ammar terus tertidur setelah dibaringkan. Kepenatan.

Aima Insyirah memandang Humaira. Begitulah rutin harian mereka berdua. Pelbagai keadaan yang berlaku. Sungguh semangat Ammar dikagumi, masih terlalu kecil untuk mengenal erti jihad. Di sini, tiada istilah bermain bagi mereka. Mainan mereka adalah dengan batu-batu yang digunakan untuk menentang rejim Zionis. Kadang-kadang difikirkan Aima, dapatkah hanya dengan batu boleh menghancurkan rejim Zionis? Tetapi, hanya batu-batu itu sahaja yang boleh membawa kepada 'syahid'. Itulah yang diterapkan dalam jiwa anak-anak Palestin.

Jam menunjukkan waktu sudah memasuki Maghrib. Aima Insyirah segera pulang ke pejabat, masih banyak perancangan dan laporan-laporan perlu disiapkan. Teringat dia akan e-mel Naufal Mustaqim yang belum dibalasnya.

Bab 2 : Mujahadah

Matahari memancar cahayanya. Anugerah Pencipta kepada hambanya. Hanya mereka yang tahu menilai dengan mata hati sahaja tahu akan rahsianya. Yang tidak bersyukur akan terus-terusan melakukan kemusnahan dan kezaliman. Dan itulah yang sedang dilakukan oleh rejim Zionis laknatullah.

Suasana Kem Mujahadah sibuk. Masing-masing mempunyai misi yang perlu dilunaskan.

Pelbagai persediaan dibuat. Azzahra, anak angkat Ibu Fatimah pakar dalam ICT. Azzahra akan mengendalikan sistem pengendalian Internet untuk menyebarkan maklumat yang penting dan sulit ke negara-negara Islam. Azzahra juga akan melatih anak-anak gadis belasan tahun untuk menguasai ilmu ICT. Laman web mengutuk serangan tentera Zionis di bawah pimpinan Weismen Hud dan sekutunya mendapat sambutan seluruh pencinta keamanan. Malahan seluruh penduduk diminta untuk mendaftar pada laman web ciptaan Azzahra bagi mengecam tindakan kejam tentera Zionis laknatullah.

Humaira, sarjana dalam bidang psikologi dan kaunseling diamanahkan untuk mengendalikan kes-kes trauma yang menimpa kanak-kanak dan kaum wanita. Bukan mudah untuk menyelami gelodak dan trauma yang menghantui diri. Namun, Humaira yakin, mereka mampu dipulihkan dengan obor dan semangat jihad bagi mengembalikan semula kegemilangan Islam.

Isteri-isteri yang masih mempunyai suami diseru melahirkan ramai lagi mujahid dan mujahidah bagi memperjuangkan Islam untuk generasi seterusnya. Biar semakin ramai yang dibunuh, masih ramai lagi yang bakal lahir untuk memperjuangkan Islam.

Setiap anak-anak kecil ini diterapkan semangat untuk syahid. Bukan ketakutan terhadap senjata mesingan atau bom yang gugur tanpa mengira masa dan tempat. Anak kecil ini dididik, andai gugur di medan perang, bukan gugur sia-sia tetapi gugur sebagai syuhada. Biarpun bersenjatakan batu, namun jiwa dan semangat anak-anak ini mampu mengalahkan tentera rejim Zionis yang pengecut batinnya itu. Gagah rejim Zionis hanya apabila memegang senjata. Gagah merobek penempatan penduduk Palestin hanya apabila dilengkapi dengan kereta-kereta kebal, gagah berlegar-legar mencari sasaran untuk dibedil dengan bom hanya apabila dilengkapi pesawat.

..............................................................

Aima Insyirah kepenatan. Mesyuarat semalam berakhir kira-kira pukul dua pagi. Pagi ini masih ada tugas menantinya di wad-wad trauma. Setiap hari pasti ada yang terkena bedilan askar rejim Zionis laknatullah. Silap melangkah, maut menanti di hadapan. Aima Insyirah melepaskan rasa kesal dan benci dengan anjing-anjing Zionis yang tidak berperikemanusiaan

“Kerana itu aku berada di sini. Moga Allah merahmati perjuanganku di sini,” bisik Aima Insyirah.

Plag komputer di ‘on’. Terdetik di hatinya untuk membuka e-mel. Mungkin ada e-mel daripada umi dan walid. Dia sangat rindukan umi dan walid. Namun kerana kesibukan, dia tidak sempat untuk selalu menghubungi umi dan walid. Yang ada hanyalah kiriman daripada umi dan walid tercintanya. Aima Insyirah rindu kepada nasihat-nasihat umi dan semangat obor daripada walid. Peti inbox dibuka, Aima Insyirah sedikit kecewa, tiada e-mel daripada umi dan walidnya.

“Mungkin umi dan walid sibuk,” Aima Insyirah memujuk dirinya. Satu e-mel yang tidak dikenali dibuka, sudah tiga hari e-mel itu dihantar. Aima Insyirah meneliti namanya, ‘Mustaqim’. Aima Insyirah cuba mengingati siapa insan bernama Mustaqim itu. “Telah banyak yang aku lupa,” keluh Aima Insyirah. E-mel itu dibacanya:

Assalamualaikum,

Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad dan para sahabat.

Aima Insyirah,

Mungkin kehadiran e-mel ini mengejutkan Insyirah. Ingat lagi pada saya? Mustaqim, sahabat dari Kelas 5 Siddiq di MRSM Balik Pulau. Telah enam tahun kita terputus hubungan. Terdetik untuk berhubung kembali dengan Insyirah. Bagaimanalah keadaan Insyirah sekarang? Saya harapkan Insyirah sentiasa selamat dan di bawah naungannya di bumi Palestin, bumi suci al-Quds.

Beberapa hari yang lalu, saya menziarahi umi dan walid Insyirah dengan harapan untuk bertemu Insyirah. Saya dapat tahu umi dan walid Insyirah ke Palestin beberapa tahun lalu daripada papa saya. Saya sangat terkejut apabila umi mengatakan Insyirah tidak pulang bersama dari Palestin. Insyirah sungguh berani. Suasana di Palestin yang menggerunkan memungkinkan nyawa kita melayang pada bila-bila masa sahaja. Terdetik rasa kagum pada insan yang bernama Aima Insyirah yang pernah saya kenali. Semangatmu dan kecintaanmu pada Islam terlalu tinggi nilaiannya. Bukan satu yang mudah tindakan seorang Muslimat yang sanggup mempertaruhkan nyawa, mengorbankan kebahagiaan demi Islam. Lahir rasa segan untuk membandingkan diri ini dengan Insyirah. Teringat saya kepada kata-kata Insyirah suatu ketika dahulu:

“Suatu hari nanti saya mahu jadi pengaman dunia. Mahu membela nasib umat Islam yang tertindas.”

Kini baharu saya memahami. Ternyata Insyirah seorang Muslimat yang kental dan berani. Semoga ramai lagi Muslimat yang akan lahir menjadi seperti Insyirah, lahir dalam Islam, untuk Islam dan demi perjuangan Islam.

Untuk pengetahuan Insyirah, saya kini bertugas di MINT (Malaysia Institute Nuclear Technology), telah dua tahun saya di MINT, bertugas di Department Research Center, Radiation Technology setelah tamat belajar di Tokyo University, Jepun dalam bidang nuklear. Teknologi nuklear di Malaysia masih tidak mencapai tahap maju seperti di AS, Jepun atau Iraq. Saya juga salah seorang penggerak Aman Palestin yang ditubuhkan beberapa tahun yang lalu di Malaysia. Kami menjadi suara tentang keadaan di Palestin serta ejen kebajikan bagi mendapatkan bantuan untuk disumbangkan kepada rakyat Palestin terutamanya membantu anak-anak yatim dan para pelarian. Saya turut terlibat dengan aktiviti-aktiviti dakwah dalam Muslim Youth Care Association (My’C). Masalah gejala sosial terutama di kalangan remaja, kami turut membantu membanterasnya.

Kondisi di Malaysia kini amat membimbangkan. Maksiat berleluasa, penzinaan, arak atau clubbing. Berat tanggungjawab umat Islam yang sedar untuk membantu yang telah hanyut dan tersimpang jauh daripada syariat Islam. Kedapatan NGO menentang Islam, cuba menimbulkan keraguan di kalangan umat Islam dan menawarkan pelbagai hiburan dan keseronokan kepada remaja Islam.

Saya kira cukup panjang saya bercerita. Cukuplah sekadar ini untuk awal bicara pertemuan semula kita. Saya amat berharap hubungan di antara kita tidak akan terputus lagi dan terhenti untuk setakat ini. Mungkin kita memerlukan antara satu sama lain untuk meneruskan perjuangan kita walaupun berada di benua yang berbeza. Saya akhiri dengan sedikit renungan sebagai obor kekuatan untuk kita terus istiqamah dan thabat pada jalan ini.

Assyahid Imam Hasan Al-Banna berkata:

'Apa yang aku maksudkan dengan pengorbanan ialah berkorban jiwa, harta, masa, kehidupan dan segalanya untuk mencapai matlamat. Tiada jihad di dunia tanpa pengorbanan dan tidak akan lenyap pengorbanan demi memperjuangkan fikrah kita, bahkan ada ganjaran besar dan pahalanya. Sesiapa yang duduk enggan berkorban bersama kami mereka telah berdosa. Allah berfirman maksudnya: 'Sesungguhnya Allah membeli orang-orang Mukmin, jiwa-jiwa mereka dan harta-harta mereka.' Dan firman Allah lagi: 'Jika kamu taat, Allah akan mengurniakan kepada kamu balasan yang baik.' Jadi di sini kita mengerti makna slogan: 'Mati di jalan Allah adalah harapan kita yang paling murni.'

Sekian, wassalam.

Sahabatmu,

Naufal Mustaqim.