Monday, April 20, 2009

Bab 9 : Intifadha Pertama

Trak-trak askar rejim Zionis hancur. Pengeboman berlaku di sana-sini. Pejuang-pejuang mula bertindak.
Pastinya mereka ialah pejuang-pejuang yang berjaya melarikan diri daripada penjara. Kelibat mereka tidak dapat dikesan. Pengawasan rejim Zionis beralih
pada tempat-tempat strategik bagi memastikan Al-Amin bersama tiga pejuang lain ditangkap ataupun dihapuskan.
“Jangan lupa, malam ini!” Interkom berbunyi. Gerakan Mujahadah bersedia. Briged Al Ayubi perkemaskan
persediaan. Strategi, fizikal dan ruhiyyah.
Humaira tidak pernah lekang dari munajat kepada Ilahi. Dia yakin, pertolongan Allah semakin hampir. Perasaan rindu yang mendalam kepada Al-Amin, suami tercinta tidak pernah lekang dari hatinya. Rindu yang kian mendalam. Allah sedang menguji cinta dan kasih sayangnya. Segalanya disandarkan kepada pemilik
segala rasa rindu. Biarlah Allah memelihara perasaannya
supaya tidak melunturkan rasa rindu kepada yang lebih berhak. Ditahan gelodak di jiwa. Tawakal sepenuhnya kepada Allah. Dia lebih mengetahui hikmah setiap kejadian.
Azzahra dan beberapa orang intel yang lain mengawal
operasi di pusat kawalan utama. Dua operasi dijalankan serentak. Operasi pembebasan tahanan Palestin. Zon A, Penjara Gaza. Zon B, Penjara Nablus. Ribuan pejuang Ayubi bersedia, menuju ke pusat operasi yang ditetapkan. Jeneral Rifa’il Zanki ketuai operasi di Penjara Gaza. Turut serta Aima Insyirah dan mujahadah-mujahadah lain, mereka di arah ke pusat tahanan wanita Palestin. Leftenan Harithah Fadhallah mengetuai Zon B bersama Leftenan Major Ameer Hussaini.
Askar rejim Zionis yang terlena, dimandikan dengan semburan odour-poisonous. Bagai tangki gas yang bocor merebak ke seluruh ruang udara. Pengawal di pusat kawalan dihapuskan. Odour-poisonous menyerang
sistem saraf utama dengan cepat, memberikan kekejangan otot dan mati dalam 30 saat. Pintu penjara dihancurkan, bom C4 dilemparkan. Pintu-pintu jeriji bilik tahanan turut dimusnahkan.
Tiba-tiba siren amaran berbunyi. Bising dan kuat membingitkan gegendang telinga. Suasana menjadi cemas di Penjara Ghaza. Aima Insyirah kaget.
“Kenapa Jeneral Rifa’il? Apa yang berlaku? Bukankah kita telah hapuskan semua sistem kawalan?”
Tanya Aima Insyirah bertalu-talu. Mujahadah lain pucat. Bimbang.
Jeneral Rifa’il mengerutkan dahi. Berfikir. Perlu tangkas bertindak! Operasi membebaskan pejuang di Penjara Gaza sudah dikesan di pusat kawalan rejim Zionis.
Aima Insyirah, Jeneral Rifa’il dan ramai lagi pejuang
Ayubi terperangkap di dalam penjara. Trak-trak pengangkutan dibom. Suara jeritan dan mengerang kesakitan jelas kedengaran. Mayat hitam yang rentung bergelimpangan di sana sini.
Ramai tentera Ayubi yang syahid, terkena bedilan kereta kebal rejim Zionis. Suasana sebelum Subuh didendangkan dengan bunyi tembakan. Ramai tahanan terkorban.
Jeneral Rifa’il mengarahkan Aima Insyirah segera melarikan diri dan menyelamatkan diri. Jantung Aima Insyirah berdegup dengan penuh kencang. Serasa seluruh tubuhnya menggigil-gigil, sejuk kaku dibasahi rejap peluh memenuhi wajah cemasnya. Tidak pernah seumur hidupnya, berhadapan dengan ancaman maut. Tidak pernah dia merasai ketakutan yang teramat sangat... sangat takut! Ketakutan itu tidak pernah dialami
sebelum ini. Keringat mengalir deras.
"Ya Allah, beginikah ketakutan setiap hari yang dirasai oleh hamba-hambaMu di bumi Palestin ini?” Dadanya sebak, ubunnya mencucuk-cucuk, manik jernih mula menuruni pipinya. Antara sebak dan ketakutan. Semuanya memenuhi ruang hatinya.
Lutut Aima Insyirah semakin kuat menggigil. Lariannya bagaikan mahu terhenti. Derapannya terasa terlalu sukar dan payah.
"Allahu Ahad! Allahu Ahad!” tangisan ketakutan Aima Insyirah tidak terbendung lagi. Samar pandangannya
dikaburi lebatnya titisan air mata. Asma’ Allah tidak henti-henti menghiasi kalamnya. "Allah, berikan aku kekuatan... Bantu aku Ya Allah... Allah... Allah...” Aima Insyirah terus berusaha membina kekuatan, menghimpunkan segala kudrat yang ada bagi mempercepatkan
langkahnya Hayunan langkahnya dirasakan semakin ringan. Aima Insyirah terus berlari selaju mungkin tanpa menoleh
ke belakang. Dia sedar, ada laknatullah mengejarnya
dari belakang. Tiada apa, tiada siapa lagi yang boleh menyelamatkannya di saat genting itu, melainkan
hanya Allah. Hanya Allah. Aima Insyirah tidak mempedulikan apa-apa lagi. Dia berlari dan terus berlari
tanpa henti dengan kekuatan Allah mengiringi.
Tiba-tiba, buk!! Kaki Aima Insyirah terlanggar objek keras. Aima Insyirah jatuh tersungkur. Kepalanya terhantuk pada batuan-batuan kasar. Mukanya tersembam.
Pasir dan debu-debu halus menerjah ke seluruh permukaan korneanya. Kakinya terasa perit. Cecair pekat merah tidak berhenti mengalir di celah-celah jari kaki dan dahinya.
Aima Insyirah berusaha keras untuk bangkit. Dahinya berdenyut-denyut kuat. Pedih! Perit di kedua mata ditahan kesakitan. Kabur pandangan. Rembesan cecair mata mengalir menahan kepedihan. Tangan Aima Insyirah sempat meraba-raba mendapatkan sesuatu
di but dalam keadaan terengsot-engsot. Bom tangan pantas digapai, sepantas kilat segera dilemparkan
bom itu ke arah musuh dari arah belakang. Tangan Aima Insyirah menggeletar hebat. Namun dia puas!
Bom!! Bom!!!! Pang!! Pang!!!
"Arghhhh!!!” Aima Insyirah mengerang kesakitan. Tangan kirinya cedera parah. Tertusuk peluru bedilan laknatullah.
"Allah... Allah...” Pandangan Aima Insyirah berpinar-pinar. Kabut hitam memenuhi seluruh ruangan
penglihatan. Suasana menjadi gelap gelita. Kelam...

No comments:

Post a Comment