Tuesday, September 28, 2010

::MCF Terbitan Kedua::


Alhamdulillah, Novel MCF telah diterbitkan pada Mei 2009..dan telah terjual 5000 naskah..Terima kasih kepada pembaca yang menyokong usaha kecil ini..

InsyaAllah, MCF akan diulang cetak edisi kedua pada September 2010...semoga Allah memberkati&rahmat mengiringi..Amin~

Tuesday, May 26, 2009


Read Malaysia International Book Fair 2009
29 Mei - 7 Jun 2009
11.00 pagi - 10.00 malam
MIECC, MINES
Bandar Seri Kembangan, Kuala Lumpur


InsyaAllah sesi sign-author / sesi bersama pengarang Novel Melakar Cinta Firdausi ;

5 Jun 2009 ( Jumaat)
5.30-6.30 petang
di gerai D111-D222
PTS Publisher Sdn. Bhd.


Diskaun sehingga 30 %...

maklumat lanjut : http://pts.com.my/index.php/aktiviti/3361/

JOM JUMPA DI SANA!!! (",)

::Melakar Cinta Firdausi di Harian Metro ::

Isnin & Selasa ( 25 dan 26 Mei 2009)
Ruangan HATI (Ulat Buku)

AIMA Insyirah, gadis berasal dari Malaysia menabur bakti sebagai sukarelawan di Palestin. Berlatarbelakangkan pergolakan Palestin, Aima Insyirah tetap tersenyum membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Zionis.Namun pada saat seluruh hatinya ditujukan untuk tujuan murni itu, ada serpih hatinya yang tertinggal di Malaysia. Naufal Mustaqim, kenalan lamanya kembali berhubung dengan sejuta harapan kebahagiaan.Pada saat hatinya merindu kepada Naufal, hatinya mula diuji dengan hadirnya Jeneral Ri'fail Zanki - ketua briged Ayyubi yang menyimpan hati kepada Aima Insyirah.Pada saat hatinya menginsafi penderitaan penduduk Palestin, dirinya pula diuji apabila dia ditangkap oleh tentera Zionis.
Kalut. Buntu. Terasing. Pada saat hatinya hanya mampu menggambar bahagia ilusi, masih mampukah dia melakar cinta firdausi?

Judul: Melakar Cinta Firdausi
Penulis: Nurul Aini K Azhari & Aimi Nabihah Mohamad
Penerbit: PTS Litera Utama Sdn Bhd (2009)
Harga: RM16 (Sabah & Sarawak RM18)Halaman: 294

-Alhamdulillah.Terima kasih buat penerbit,sahabatku, aini azhari, keluarga dan semua sahabat2 kami yang membantu dan menyokong. Semoga usaha ini hanyalah untuk Islam,bukan kebanggaan.Amin-

Monday, April 20, 2009

Bab 11 : Humaira...

AL-AMIN terus diburu. Walaupun Zionis laknatullah dengan gembira mengumumkan kejayaan mereka menumpaskan
beberapa pejuang merbahaya, tetapi itu belum mencukupi. Selagi Al-Amin tidak ditangkap, mereka belum puas dan tidak akan puas.
Siapa yang tidak mengenali Al-Amin, pejuang yang berani mati. Al-Amin tulang belakang Briged Ayubi. Rejim Zionis berusaha memastikan Al-Amin ditangkap
ataupun menyerah diri. Selagi mana Al-Amin bebas berkeliaran, ia mengancam keselamatan mereka. Hakikatnya, Zionis laknatullah takut akan Al-Amin.
Humaira kaku. Tiada reaksi. Setitis demi setitis air matanya menitis. Berkaca-kaca. Berkaca. Mata galaknya
membulat. Terkejut.
“Humaira tidak apa-apa?” Rangkulan itu erat memeluk
Humaira. Segala kerinduan terubat. Adakah penantiannya sudah berakhir? Humaira berasa sangat tenang, tenang dalam dakapan itu. Sungguh dia sangat rindukan saat itu. Bersama suaminya, Al-Amin.
“Abang minta maaf, sayang. Inilah perjuangan kita, Humaira. Humaira tentu sangat faham, bukan?” Al-Amin tahu kebimbangan isterinya atas keselamatannya
dan keadaan dirinya Humaira mengangguk. Dia isteri pejuang, dia memahaminya. Dia bersama Mujahadah. Bersama dalam perjuangan ini. Memang selama ini dia diselubungi
kebimbangan. Hanya seminggu mereka bersama
kemudian Al-Amin perlu pergi, mereka terpisah. Untuk perjuangan menegakkan kembali bumi al-Quds dari dikuasai oleh Zionis laknatullah.
“Humaira rindu. Humaira akan sentiasa merindukan
abang. Tetapi biarlah rindu ini dapat menemukan
kita di akhirat kelak.” Tangan suaminya dikucup berkali-kali. Matanya masih basah. Sedunya berbunyi.
“Doakan Humaira untuk kuat dalam perjuangan
ini, abang.” Humaira bersyukur diberi kesempatan untuk bersama dengan suaminya yang tercinta, walau seketika.
Al-Amin memahami jiwa isterinya. Seorang isteri tidak mampu bertahan apabila berbulan ditinggalkan. Apa lagi bertahun-tahun.
“Humaira isteri abang yang hebat. Keperitan di dunia hanya sementara, moga Allah kekalkan kita di akhirat nanti. Impian kita bukan di sini, tetapi di destinasi abadi, sayang. Perpisahan ini hanya sementara. Penderitaan ini hanya untuk seketika supaya kita dapat bersama kelak yang kekal untuk selama-lamanya,” Al-Amin menenangkan Humaira. Manik jernih mengalir di pipi Humaira diseka. Rambut hitam Humaira dielus-elus lembut. Humaira tenang dalam dakapannya.
Mata Humaira berkaca. Seribu satu gelodak rasa di jiwa. Mengundang resah. Jiwa halus mula berbisik. "Ya Allah, selamatkanlah suamiku. Kau lindungilah dirinya
dengan kasih dan sayangMu. Berikan dia kekuatan
untuk terus berjuang di jalanMu. Jangan Kau nampakkan kesedihanku ini di matanya kerana aku tidak mahu kesedihan ini menjadikan hatinya lemah.” Sedaya Humaira menahan kolam air matanya dari mengalir. Bibirnya bergetar. Hatinya perit menahan rasa.
"Sayang, perjuangan ini menuntut pengorbanan keseluruhan jiwa raga. Apatah lagi nyawa yang bila-bila masa bakal dijemput Ilahi. Selangkah ke alam perjuangan selamanya dalam kepahitan. Humaira sayang, perjuangan ini tidak dihampar dengan permaidani merah. Tetapi ingatlah sayang, onak dan duri yang akan terus kita tempuhi. Jangan ada resah dan kesal walau sedikit di hatimu sayang. Jika kita benar-benar ikhlas dalam perjuangan ini, Dia pasti tidak akan menghampakan kita. Percaya dan yakinlah wahai sayangku Humaira.”
Sebak di dada Humaira tidak tertahan lagi. Kolam jernih Humaira mengalir jua. Deras dan semakin laju menderu mengalir. Al-Amin menarik tubuh kecil Humaira rapat ke dadanya, dirangkul erat. Menenangkan kedukaan jiwa isteri tercinta. Rambut Humaira dibelai dan diusap perlahan-lahan. ”Menangislah sayangku. Menangislah sepuas hatimu
sayang. Air matamu itu adalah sumber kekuatan,” Al-Amin berbisik sayu.
Dinihari, Humaira masih lena didodoi suami tercinta.
Perlahan, Al-Amin meleraikan lentok kepala Humaira di sisi. Subuh semakin menghampiri. Al-Amin perlu beredar sebelum azan berkumandang. Wajah tabah Humaira ditatap dalam, sepuas hatinya. Mungkin inilah ke sekian akhirnya dia dapat melihat dan merenung raut wajah isteri tercinta. Pilu bertamu di hati. Dahi Humaira dikucup. Lama...

Bab 10 : Tiada Daya Selain Dari Allah

ASKAR yang berpakaian seragam hijau, berlencana Zionis, menyentap kerudung yang melitupi aurat Aima Insyirah. Aima Insyirah tersentap, matanya kemerahan memandang anjing laknatullah itu. Rambutnya terurai jatuh mencecah bahu. Maruahnya dipersendakan.
“Wow, so beauty!” Askar Zionis itu mengelus-ngelus rambut halus Aima Insyirah. Matanya melirik ke seluruh tubuh Aima Insyirah. Aima Insyirah menepis kasar. Mencari kekuatan mempertahankan maruahnya.
Askar itu memandang Aima Insyirah dengan niat jahat, mengeluarkan kata-kata kotor dan membuat gerakan lucah. Aima Insyirah terus dipaksa untuk bersuara,
menjawab soalan. Namun, Aima Insyirah tetap berdegil. Biar terkorban diri, tetapi bukan korbankan perjuangan Islam. Aima Insyirah berjanji pada dirinya
bahawa anjing-anjing Zionis boleh menakluki tubuhnya, tetapi mereka tidak akan dapat menguasai jiwanya, mematahkan akidahnya atau melunturkan semangat perjuangannya.
Ptuih! Sepantas kilat Aima Insyirah meludah ke muka askar laknatullah itu. Pang! Satu penampar singgah di pipi Aima Insyirah. Merah dan pedih. Adatitisan darah di hujung bibirnya. Sungguh kuat tangan kasar itu mengasari pipi Aima Insyirah.
“Nah, ambillah! Pergi mampuslah dengan agamamu,”
tudung dilemparkan ke muka Aima Insyirah. Penghinaan itu membakar jiwanya. “Lakum dinukum waliyadin.” Aima membalas penghinaan mereka. Matanya bersinar, jelas kemarahannya. Askar Zionis ketawa berdekah-dekah, mengejek pendirian Aima Insyirah.
“Sebat dia 100 kali!”
Tubuh kecil Aima Insyirah digantung pada tiang besi, sebatan mendarat ke tapak kaki dan seluruh badannya. Kesakitan di segenap tubuh terasa sehingga ke tulang. Suara rintihan Aima Insyirah mengajukan pengaduan kepada Allah. Mulut Aima Insyirah tidak putus mengulang-ulang Asmaullahazam.
“Ya Allah, ya Allah, Allahuakbar!” Sebatan yang dihayun ke tubuh menyiat-nyiat kulitnya. Hatinya hanya bergantung kepada Allah. Sayup-sayup, Aima Insyirah terdengar suara anjing-anjing laknatullah itu memanggilnya. Mengarahkannya berdiri tegak. Menambahkan lagi azab kesakitan yang menimpanya. Mata Aima Insyirah tidak mampu dibuka. Apatah lagi untuk bangun berdiri. Si gempal laknatullah mengarahkan
askarnya menegakkan tubuh Aima Insyirah.
“Mana Tuhanmu? Panggillah Tuhanmu. Minta Dia lepaskan engkau dari cengkaman aku, panggillah!” teriak si gempal laknatullah itu. Aima Insyirah tidak menjawab.
“Di mana Tuhan yang engkau agungkan itu?” kata-katanya menyakitkan hati Aima Insyirah. Menyakitkan hati semua umat Islam kalau didengari.
“Allah akan berbuat sesuatu dan punya kekuatan Yang Maha Besar.” Aima Insyirah menjawab walaupun tekaknya tidak mampu mengeluarkan suara.
Aima Insyirah dibawa keluar dari sel tahanan. Dia dibawa ke rumah sakit untuk rawatan.

Bab 9 : Intifadha Pertama

Trak-trak askar rejim Zionis hancur. Pengeboman berlaku di sana-sini. Pejuang-pejuang mula bertindak.
Pastinya mereka ialah pejuang-pejuang yang berjaya melarikan diri daripada penjara. Kelibat mereka tidak dapat dikesan. Pengawasan rejim Zionis beralih
pada tempat-tempat strategik bagi memastikan Al-Amin bersama tiga pejuang lain ditangkap ataupun dihapuskan.
“Jangan lupa, malam ini!” Interkom berbunyi. Gerakan Mujahadah bersedia. Briged Al Ayubi perkemaskan
persediaan. Strategi, fizikal dan ruhiyyah.
Humaira tidak pernah lekang dari munajat kepada Ilahi. Dia yakin, pertolongan Allah semakin hampir. Perasaan rindu yang mendalam kepada Al-Amin, suami tercinta tidak pernah lekang dari hatinya. Rindu yang kian mendalam. Allah sedang menguji cinta dan kasih sayangnya. Segalanya disandarkan kepada pemilik
segala rasa rindu. Biarlah Allah memelihara perasaannya
supaya tidak melunturkan rasa rindu kepada yang lebih berhak. Ditahan gelodak di jiwa. Tawakal sepenuhnya kepada Allah. Dia lebih mengetahui hikmah setiap kejadian.
Azzahra dan beberapa orang intel yang lain mengawal
operasi di pusat kawalan utama. Dua operasi dijalankan serentak. Operasi pembebasan tahanan Palestin. Zon A, Penjara Gaza. Zon B, Penjara Nablus. Ribuan pejuang Ayubi bersedia, menuju ke pusat operasi yang ditetapkan. Jeneral Rifa’il Zanki ketuai operasi di Penjara Gaza. Turut serta Aima Insyirah dan mujahadah-mujahadah lain, mereka di arah ke pusat tahanan wanita Palestin. Leftenan Harithah Fadhallah mengetuai Zon B bersama Leftenan Major Ameer Hussaini.
Askar rejim Zionis yang terlena, dimandikan dengan semburan odour-poisonous. Bagai tangki gas yang bocor merebak ke seluruh ruang udara. Pengawal di pusat kawalan dihapuskan. Odour-poisonous menyerang
sistem saraf utama dengan cepat, memberikan kekejangan otot dan mati dalam 30 saat. Pintu penjara dihancurkan, bom C4 dilemparkan. Pintu-pintu jeriji bilik tahanan turut dimusnahkan.
Tiba-tiba siren amaran berbunyi. Bising dan kuat membingitkan gegendang telinga. Suasana menjadi cemas di Penjara Ghaza. Aima Insyirah kaget.
“Kenapa Jeneral Rifa’il? Apa yang berlaku? Bukankah kita telah hapuskan semua sistem kawalan?”
Tanya Aima Insyirah bertalu-talu. Mujahadah lain pucat. Bimbang.
Jeneral Rifa’il mengerutkan dahi. Berfikir. Perlu tangkas bertindak! Operasi membebaskan pejuang di Penjara Gaza sudah dikesan di pusat kawalan rejim Zionis.
Aima Insyirah, Jeneral Rifa’il dan ramai lagi pejuang
Ayubi terperangkap di dalam penjara. Trak-trak pengangkutan dibom. Suara jeritan dan mengerang kesakitan jelas kedengaran. Mayat hitam yang rentung bergelimpangan di sana sini.
Ramai tentera Ayubi yang syahid, terkena bedilan kereta kebal rejim Zionis. Suasana sebelum Subuh didendangkan dengan bunyi tembakan. Ramai tahanan terkorban.
Jeneral Rifa’il mengarahkan Aima Insyirah segera melarikan diri dan menyelamatkan diri. Jantung Aima Insyirah berdegup dengan penuh kencang. Serasa seluruh tubuhnya menggigil-gigil, sejuk kaku dibasahi rejap peluh memenuhi wajah cemasnya. Tidak pernah seumur hidupnya, berhadapan dengan ancaman maut. Tidak pernah dia merasai ketakutan yang teramat sangat... sangat takut! Ketakutan itu tidak pernah dialami
sebelum ini. Keringat mengalir deras.
"Ya Allah, beginikah ketakutan setiap hari yang dirasai oleh hamba-hambaMu di bumi Palestin ini?” Dadanya sebak, ubunnya mencucuk-cucuk, manik jernih mula menuruni pipinya. Antara sebak dan ketakutan. Semuanya memenuhi ruang hatinya.
Lutut Aima Insyirah semakin kuat menggigil. Lariannya bagaikan mahu terhenti. Derapannya terasa terlalu sukar dan payah.
"Allahu Ahad! Allahu Ahad!” tangisan ketakutan Aima Insyirah tidak terbendung lagi. Samar pandangannya
dikaburi lebatnya titisan air mata. Asma’ Allah tidak henti-henti menghiasi kalamnya. "Allah, berikan aku kekuatan... Bantu aku Ya Allah... Allah... Allah...” Aima Insyirah terus berusaha membina kekuatan, menghimpunkan segala kudrat yang ada bagi mempercepatkan
langkahnya Hayunan langkahnya dirasakan semakin ringan. Aima Insyirah terus berlari selaju mungkin tanpa menoleh
ke belakang. Dia sedar, ada laknatullah mengejarnya
dari belakang. Tiada apa, tiada siapa lagi yang boleh menyelamatkannya di saat genting itu, melainkan
hanya Allah. Hanya Allah. Aima Insyirah tidak mempedulikan apa-apa lagi. Dia berlari dan terus berlari
tanpa henti dengan kekuatan Allah mengiringi.
Tiba-tiba, buk!! Kaki Aima Insyirah terlanggar objek keras. Aima Insyirah jatuh tersungkur. Kepalanya terhantuk pada batuan-batuan kasar. Mukanya tersembam.
Pasir dan debu-debu halus menerjah ke seluruh permukaan korneanya. Kakinya terasa perit. Cecair pekat merah tidak berhenti mengalir di celah-celah jari kaki dan dahinya.
Aima Insyirah berusaha keras untuk bangkit. Dahinya berdenyut-denyut kuat. Pedih! Perit di kedua mata ditahan kesakitan. Kabur pandangan. Rembesan cecair mata mengalir menahan kepedihan. Tangan Aima Insyirah sempat meraba-raba mendapatkan sesuatu
di but dalam keadaan terengsot-engsot. Bom tangan pantas digapai, sepantas kilat segera dilemparkan
bom itu ke arah musuh dari arah belakang. Tangan Aima Insyirah menggeletar hebat. Namun dia puas!
Bom!! Bom!!!! Pang!! Pang!!!
"Arghhhh!!!” Aima Insyirah mengerang kesakitan. Tangan kirinya cedera parah. Tertusuk peluru bedilan laknatullah.
"Allah... Allah...” Pandangan Aima Insyirah berpinar-pinar. Kabut hitam memenuhi seluruh ruangan
penglihatan. Suasana menjadi gelap gelita. Kelam...

Tuesday, April 7, 2009

Bab 8 : Tazkir Mujahidah

Assalamualaikum warahmatullah anak-anak ibu yang dikasihi,

Ibu bangga dengan api perjuangan anak-anak, moga semangat ini terus membakar semarak api. Tetapi anak-anak, di sini ibu ingin ingatkan, dalam berjuang, pastikan hubungan kita dengan Allah dijaga. Ingin ibu tekankan tentang solat malam yang menjadi penggerak utama kebangunan Nubuwwah. Ia merupakan bekalan para Mukmin dengan potensi dan daya juang yang tidak dapat digambarkan hebatnya.

“Dalam surah al-Muzammil ayat 6, ada mengatakan: “Sesungguhnya jiwa (orang) yang terbentuk di waktu malam itu lebih mantap (keperibadiannya) dan lebih jitu kata-katanya.”

“Diriwayatkan ketika jibril datang bertemu Rasullah, lalu berkata kepada baginda:

Hai Muhammad, hiduplah seperti mana yang engkau mahu, namun engkau pasti mati. Berbuatlah apa yang engkau mahu, namun engkau akan berpisah dengannya. Ketahuilah bahawa keutamaan seseorang Mukmin ialah qiam al-lail (sembahyang malam) manakala kemuliaannya ialah sikap berdikari (tidak bergantung kepada orang lain).”

“Anak-anak yang dikasihi, ibu harap anak-anak nampak dan jelas kepentingan solat malam dalam membentuk para daie yang berjiwa Rabbani. Apa yang dikatakan Rabbani itu? Ia adalah berhubung dengan hubungan hati dan jiwa kepada Allah, mempunyai hati yang peka, kewaspadaan yang tinggi serta kekritisan daya fikir. Ingatlah anak-anak, alangkah hebatnya kurnia dan ganjaran yang diberikan. Dengan beberapa rakaat solat yang dikerjakan di waktu malam, ia boleh selamat dari seksa kubur, kesepian dan kelengangannya. Kubur itu adalah anak tangga pertama ke akhirat. Jika seseorang boleh selamat dari seksanya, maka peringkat selepas itu adalah lebih mudah. Tetapi kalau ia tidak selamat, maka apa yang akan dihadapinya selepas itu akan lebih payah.”

“Anak-anak ibu yang disayangi, ibu harap anak-anak terus istiqamah dalam perjuangan. Ingatlah kesusahan yang diiringi dengan kesabaran, usaha, doa dan tawakal adalah bunga-bunga kejayaan. Janganlah ada di kalangan anak-anak ibu yang mengabaikan hubungan yang intim dengan Allah hanya kerana sibuk dengan strategi perjuangan. Sekian sahaja dari ibu, Assalamualaikum!”

Pengisian Ibu Fatimah, rutin mingguan gerakan Mujahidah berakhir. Ibu Fatimah memerhatikan Aima Insyirah tidak kelihatan. Tidak pernah Aima Insyirah tidak hadir mesyuarat. Kalau ada hal penting, Aima Insyirah akan memaklumkannya terlebih dahulu. Humaira dan Azzahra juga tidak tahu kenapa Aima Insyirah tidak hadir. Masing-masing tertanya-tanya.

………………………………

Rindu pada umi dan walid hadir. Bila dalam kelemahan, kata-kata nasihat dan belaian umi dan walid didambakan. Aima Insyirah tidak tahu mengapa dia begitu lemah. Lemah menghadapi ujian hati, tanpa dia pinta ada secebis harapan diletakkan dalam hatinya kepada insan bernama Naufal Mustaqim. Walaupun tanpa mengenal rupa ketika telah dewasa, tidak mengetahui bagaimana akhlaknya kini tetapi cebisan kenangan silam membuatkan hatinya bergetar apabila terlintas nama unik itu di fikirannya. Benarlah ungkapan, cinta itu hadir tanpa dipinta, cinta itu berputik tanpa disangka. Hanya sebagai hambanya, perlu bijak meletakkan anugerah cinta itu sesuai di tempatnya.

“Umi, walid, Aima perlukan kekuatan. Aima lemah dalam keseorangan. Apa yang perlu Aima buat umi? Bagaimana cara untuk Aima mengatasinya walid?” Bingkai fotonya bersama umi dan walid digapai.

“Aima rindu pelukan umi yang menenangkan. Aima rindu nasihat walid yang mendamaikan. Tolong Aima, umi..walid..” Bingkai foto mula basah. Dilihat gambarnya bersama umi dan walid, wajahnya ketika itu penuh ceria dan kegembiraan.

“Oh diri, mengapa engkau tidak mampu melawannya. Mengapa engkau tidak cuba untuk menjadi seceria seperti dahulu. Engkau perlu mengatasinya. Pasti boleh, Aima Insyirah!” Aima Insyirah bermonolog sendirian, mencari kekuatan, mendorong diri.

“Assalamualaikum,” bunyi salam menyentakkan Aima Insyirah yang hanyut dalam dunianya sendiri.

“Waalaikumussalam!” Jawab Aima Insyirah dalam kekalutan. Dirinya tidak bersedia menerima tetamu ketika ini.