Tuesday, April 7, 2009

Bab 8 : Tazkir Mujahidah

Assalamualaikum warahmatullah anak-anak ibu yang dikasihi,

Ibu bangga dengan api perjuangan anak-anak, moga semangat ini terus membakar semarak api. Tetapi anak-anak, di sini ibu ingin ingatkan, dalam berjuang, pastikan hubungan kita dengan Allah dijaga. Ingin ibu tekankan tentang solat malam yang menjadi penggerak utama kebangunan Nubuwwah. Ia merupakan bekalan para Mukmin dengan potensi dan daya juang yang tidak dapat digambarkan hebatnya.

“Dalam surah al-Muzammil ayat 6, ada mengatakan: “Sesungguhnya jiwa (orang) yang terbentuk di waktu malam itu lebih mantap (keperibadiannya) dan lebih jitu kata-katanya.”

“Diriwayatkan ketika jibril datang bertemu Rasullah, lalu berkata kepada baginda:

Hai Muhammad, hiduplah seperti mana yang engkau mahu, namun engkau pasti mati. Berbuatlah apa yang engkau mahu, namun engkau akan berpisah dengannya. Ketahuilah bahawa keutamaan seseorang Mukmin ialah qiam al-lail (sembahyang malam) manakala kemuliaannya ialah sikap berdikari (tidak bergantung kepada orang lain).”

“Anak-anak yang dikasihi, ibu harap anak-anak nampak dan jelas kepentingan solat malam dalam membentuk para daie yang berjiwa Rabbani. Apa yang dikatakan Rabbani itu? Ia adalah berhubung dengan hubungan hati dan jiwa kepada Allah, mempunyai hati yang peka, kewaspadaan yang tinggi serta kekritisan daya fikir. Ingatlah anak-anak, alangkah hebatnya kurnia dan ganjaran yang diberikan. Dengan beberapa rakaat solat yang dikerjakan di waktu malam, ia boleh selamat dari seksa kubur, kesepian dan kelengangannya. Kubur itu adalah anak tangga pertama ke akhirat. Jika seseorang boleh selamat dari seksanya, maka peringkat selepas itu adalah lebih mudah. Tetapi kalau ia tidak selamat, maka apa yang akan dihadapinya selepas itu akan lebih payah.”

“Anak-anak ibu yang disayangi, ibu harap anak-anak terus istiqamah dalam perjuangan. Ingatlah kesusahan yang diiringi dengan kesabaran, usaha, doa dan tawakal adalah bunga-bunga kejayaan. Janganlah ada di kalangan anak-anak ibu yang mengabaikan hubungan yang intim dengan Allah hanya kerana sibuk dengan strategi perjuangan. Sekian sahaja dari ibu, Assalamualaikum!”

Pengisian Ibu Fatimah, rutin mingguan gerakan Mujahidah berakhir. Ibu Fatimah memerhatikan Aima Insyirah tidak kelihatan. Tidak pernah Aima Insyirah tidak hadir mesyuarat. Kalau ada hal penting, Aima Insyirah akan memaklumkannya terlebih dahulu. Humaira dan Azzahra juga tidak tahu kenapa Aima Insyirah tidak hadir. Masing-masing tertanya-tanya.

………………………………

Rindu pada umi dan walid hadir. Bila dalam kelemahan, kata-kata nasihat dan belaian umi dan walid didambakan. Aima Insyirah tidak tahu mengapa dia begitu lemah. Lemah menghadapi ujian hati, tanpa dia pinta ada secebis harapan diletakkan dalam hatinya kepada insan bernama Naufal Mustaqim. Walaupun tanpa mengenal rupa ketika telah dewasa, tidak mengetahui bagaimana akhlaknya kini tetapi cebisan kenangan silam membuatkan hatinya bergetar apabila terlintas nama unik itu di fikirannya. Benarlah ungkapan, cinta itu hadir tanpa dipinta, cinta itu berputik tanpa disangka. Hanya sebagai hambanya, perlu bijak meletakkan anugerah cinta itu sesuai di tempatnya.

“Umi, walid, Aima perlukan kekuatan. Aima lemah dalam keseorangan. Apa yang perlu Aima buat umi? Bagaimana cara untuk Aima mengatasinya walid?” Bingkai fotonya bersama umi dan walid digapai.

“Aima rindu pelukan umi yang menenangkan. Aima rindu nasihat walid yang mendamaikan. Tolong Aima, umi..walid..” Bingkai foto mula basah. Dilihat gambarnya bersama umi dan walid, wajahnya ketika itu penuh ceria dan kegembiraan.

“Oh diri, mengapa engkau tidak mampu melawannya. Mengapa engkau tidak cuba untuk menjadi seceria seperti dahulu. Engkau perlu mengatasinya. Pasti boleh, Aima Insyirah!” Aima Insyirah bermonolog sendirian, mencari kekuatan, mendorong diri.

“Assalamualaikum,” bunyi salam menyentakkan Aima Insyirah yang hanyut dalam dunianya sendiri.

“Waalaikumussalam!” Jawab Aima Insyirah dalam kekalutan. Dirinya tidak bersedia menerima tetamu ketika ini.

No comments:

Post a Comment