Tuesday, April 7, 2009

Bab 3 : Si cilik, Ammar

“They kill my sister! I want to kill them!”

Aima Insyirah terkejut melihat seorang budak lelaki berusia lapan tahun memegang pisau dan menjerit-jerit dalam keadaan separa sedar. Dia membaca laporan kemasukan budak lelaki itu:

Ammar, 8, cedera di bahagian kepala dan kakaknya, Balqis, 10, mati dibunuh oleh askar rejim Zionis di bandar Anata berhampiran Baitul Maqdis. Balqis terbunuh setelah terkena tembakan peluru yang diselaputi getah namun pihak Zionis mendakwa Ammar dan kakaknya terkena batu lemparan penunjuk perasaan yang membaling batu-batu ke arah askar-askar mereka.

“Sungguh menjijikkan, kesalahan sendiri dilontarkan pada orang lain.” Cemuh Aima Insyirah kepada Humaira dengan rasa marah. Itulah Zionis dan inilah nasib rakyat Palestin setiap detik, setiap saat tanpa mengira tua atau muda, lelaki atau wanita. Namun, semangat jihad dalam hati rakyat Palestin tidak pernah luntur. Berbekalkan batu-batu, anak-anak kecil Palestin sentiasa bersedia dan berani untuk berhadapan bila-bila masa sahaja dengan askar-askar rejim Zionis yang lengkap bersenjata!

“Sayang, kenapa?” Aima Insyirah sengaja bertanya walaupun sedia maklum apa yang berlaku.

“Go away! Semua orang jahat! Semua orang mahu bunuh Ammar dan kakak Balqis!” Ammar menjerit, pisau di tangan diacukan. Berani. Matanya merah memandang. Aima Insyirah terkejut. Keadaan agak tidak terkawal. Masing-masing berhati-hati. Bimbang ada yang akan tercedera.

“Ammar, jangan macam ini. Kakak bukan orang jahat,” Aima Insyirah memujuk sedaya mungkin. Dia memberanikan diri, mendekati Ammar.

Zaapp! Cecair pekat merah mengalir.

“Aima!” Humaira terkejut. Pergelangan tangan Aima Insyirah mengalir darah, menitis ke lantai. Kerutan di dahi jelas kelihatan, Aima Insyirah menahan kesakitan. Ammar terpaku, mukanya pucat. Lidahnya kelu seribu bahasa. Pantas dia melarikan diri.

“Ammar!” Panggil Aima Insyirah menghalang. Sakitnya dia tahan. Dia bimbang jika Ammar terus bertindak di luar kawalan.

“Kamu pergi rawat luka dahulu, Aima. Ammar biar saya uruskan,” Humaira bimbang keadaan Aima. Darahnya semakin banyak keluar.

“Alhamdulillah, kecederaan kamu tidak terlalu serius tetapi hampir-hampir terkena urat nadi,” ujar Dr. Khaleeja. Pergelangan tangan Aima Insyirah dibalut.

“Terima kasih doktor,” Aima Insyirah menarik nafas lega. Allah masih panjangkan usiaku, bisiknya.

“Kamu terlalu berani, Aima. Kamu sepatutnya lebih berhati-hati. Situasi Ammar itu tidak terkawal,” Dr. Khaleeja menasihati.

“Keberanian dari Allah, doktor”. Jawab Aima Insyirah ringkas. Dr.Khaleeja seraya tersenyum mendengarkan kata-kata Aima. Satu jawapan hamba yang berpegang teguh dengan kalimah syahadah.

“Mana Ammar?” Mata Aima liar mencari Ammar. Setiap sudut diperhatikan. Namun tidak dijumpai.

“Saya sudah carinya tetapi tidak jumpa,” jelas Humaira. Suaranya bergetar, sedikit cemas. Tiba-tiba terdengar suara tangisan kecil. Aima Insyirah dan Humaira berpandangan. Mereka mencari, mendekati suara tangisan itu. Kelihatan Ammar di pelosok bawah katil, menangis teresak-esak. Aima mendekati. Humaira memberi isyarat berhati-hati.

“Ammar, mari dekat kakak, sayang,” Aima Insyirah menghulurkan tangannya untuk mengangkat Ammar. Mata Ammar memandang ke arah balutan di tangan kiri Aima Insyirah. Sedikit takut. Rasa bersalah menyelubungi hati kecilnya yang bersih.

“Ammar jangan takut. Kakak tidak marahkan Ammar,” kening Aima Insyirah terjungkit, tersenyum. Menampakkan lebih mesra. Dia tahu, Ammar rasa takut dan bersalah. Ada sinar di mata Ammar, ketenangan dan kepercayaan. Huluran tangan disambut. Aima Insyirah memeluk Ammar dengan penuh kasih sayang. Dahi Ammar dikucupnya.

“Alhamdulillah,” ujar Humaira. Aima Insyirah menganggukkan kepala dan tersenyum.

“Ammar mahu bunuh mereka. Mereka bunuh kakak Balqis,” rintih Ammar sayu.

“Kakak faham, sayang. Tetapi Ammar tidak boleh bunuh mereka dalam keadaan macam ini,” Aima Insyirah menenangkan Ammar. Sayu di hatinya. Kanak-kanak sekecil ini sudah hilang insan yang tersayang.

“Kenapa?”

“Sebab Ammar tidak sihat. Tengok kepala Ammar itu.” Aima Insyirah senyum pada Ammar. Dilihat Ammar menyentuh kepalanya yang berbalut. Ammar tunduk. Mula memahami.

“Kalau Ammar mahu bunuh mereka, Ammar kena sihat dahulu, baharulah kuat lawan mereka.”

“Ammar sayang kakak Balqis. Kenapa mereka sangat jahat?” Air mata Ammar menitis. Dia kesepian. Dia keseorangan. Dia rindukan kakaknya, Balqis.

Aima Insyirah mendakap erat Ammar, biarlah Ammar menangis agar dia merasa lebih tenang. Agar dia tahu ramai yang menyayanginya.

“Ammar tahu, kakak Aima dan kakak Humaira pun sayangkan Ammar dan Balqis. Sangat sayang. Dan yang paling utama Ammar perlu tahu ialah, Allah lebih menyayangi kakak Balqis sebab itu Allah mengambilnya. Sekarang kakak Balqis ada di dalam syurga. Dia tengah makan sedap-sedap, kalau kakak Balqis tahu Ammar tidak makan, mesti dia sedih. Ammar mesti makan,” Aima Insyirah memandang Ammar, memujuk. Ammar mengesat matanya. Ammar menggeleng kepala.

“Okey, kalau Ammar tidak mahu makan, Ammar boleh tidur,” Ammar diam. Aima Insyirah faham maksudnya. Ammar dipimpin ke katil. Ammar terus tertidur setelah dibaringkan. Kepenatan.

Aima Insyirah memandang Humaira. Begitulah rutin harian mereka berdua. Pelbagai keadaan yang berlaku. Sungguh semangat Ammar dikagumi, masih terlalu kecil untuk mengenal erti jihad. Di sini, tiada istilah bermain bagi mereka. Mainan mereka adalah dengan batu-batu yang digunakan untuk menentang rejim Zionis. Kadang-kadang difikirkan Aima, dapatkah hanya dengan batu boleh menghancurkan rejim Zionis? Tetapi, hanya batu-batu itu sahaja yang boleh membawa kepada 'syahid'. Itulah yang diterapkan dalam jiwa anak-anak Palestin.

Jam menunjukkan waktu sudah memasuki Maghrib. Aima Insyirah segera pulang ke pejabat, masih banyak perancangan dan laporan-laporan perlu disiapkan. Teringat dia akan e-mel Naufal Mustaqim yang belum dibalasnya.

No comments:

Post a Comment