Tuesday, April 7, 2009

Bab 4 : Khalifah Ilahi

Sri Damansrara, Kuala Lumpur, Malaysia

Meow! Kucing putih bertompok coklat menjerit. “Allahuakbar!” Naufal Mustaqim terkejut. Kasihan dia tengok si kucing menjerit kesakitan. Mana tidak sakit, bila ekornya dipijak. “Maaf tompok, aku tidak sengaja.” Bisik Naufal Mustaqim sambil mengusap kepala tompok. 'Meow.' Si Tompok merengek meminta simpati.

Naufal Mustaqim bersandar pada kerusi kepenatan. Begitulah rutin hariannya, pulang ke rumah pukul 10 malam setiap hari. Fikirannya jauh menerawang memikirkan keadaan umat Islam di sekelilingnya. Terlalu jauh bezanya, bagai langit dan bumi, umat Islam Palestin sanggup menggadai nyawa untuk Islam. Tetapi umat Islam di sini, menggadai nyawa untuk keluar dari Islam, sanggup menggadai maruah untuk hidup bersenang lenang. “Ya Allah, beratnya amanah yang perlu aku pikul,” keluh Naufal Mustaqim.

Cantik perempuan itu, kulitnya putih, bibirnya bak delima, matanya bundar bersinar indah, subhanallah, indahnya ciptaan Allah. Naufal Mustaqim seolah-olah terpesona dengan kecantikan yang dilihatnya.

“Shery!” Seorang lelaki kacukan melambai-lambai. Shery berpaling dan tersenyum. Dua tangan saling bertaut. Shery melentokkan kepalanya ke bahu lelaki kacukan itu. Mereka berlalu. Terdengar rengekan manja Shery dan ketawa besar pasangannya.

Suasana hiruk-pikuk, suara penyanyi kelab malam dirasakan terlalu sumbang. Bunyi muzik yang kuat bagaikan ingin memecah gegendang telinga. Lampu bercahaya kuning, hijau, merah dan biru terpancar menyilaukan mata. Shery dan lelaki pasangannya makin ligat mengikut rentak. Maksyuk!

“Richard! Come here!” seorang lelaki memanggil. Richard memaut lengan Shery dan berjalan terhuyung-hayang ke arah lelaki tersebut. Richard mengambil sebotol Chivas Regal Revolve Scotch Whiskey. Shery menghulurkan gelas kosong. Isi botol dicampurkan sedikit dengan cola. Satu persatu gelas diisi.

Cheers! Mereka ketawa besar.

Plluupp! Minuman keras itu membakar anak tekak. Muka Shery kemerah-merahan tetapi arak masih diteguk terus-terusan. Richard mengusap-usap rambut Shery, bangga. Shery dari keluarga Islam tetapi dia mudah sahaja ditumpaskan.

Richard membakar sebatang rokok, menghembuskan asap berkepul-kepul ke arah kawan-kawannya.

“Richard, don’t you want to dance?” Tanya Remy. Tangannya memeluk erat gadis seksi di sisinya. Richard membulatkan matanya, dilihatnya tubuh Remy sekejap kecil, sekejap besar. Terasa kepalanya berpusing-pusing. Dia menggeleng-gelengkan kepala. Remy berlalu pergi, menari dengan lebih terkinja-kinja.

'Waiter!' Jerit Richard. Dia membisikkan sesuatu, sambil menjeling ke arah Shery yang telah lentok di bahunya. Waiter berlalu dan kembali membawa segelas wiski. Tangan Richard terketar-ketar membawakan gelas itu ke mulut Shery, pluup! Shery menghirup sekali harung.

Mata Shery berpinar-pinar, gelap. Richard tersenyum puas. Shery diangkat. Mereka berlalu, hilang dari pandangan.

“Qim, bangun Qim.” Izzudin menggoncangkan tubuh Naufal Mustaqim.

“Qim, bangun! Engkau sudah solat Isyak?” Naufal Mustaqim terkejut.

“Astaghfirullahalazim,” Naufal Mustaqim mengusap mukanya. Mimpi tadi hilang. Sungguh dahsyat. “Ya Allah, hebatnya ujianmu. Adakah ini petanda bahawa tanggungjawabku semakin besar. Ya Allah, permudahkanlah segala urusanku. Aku tahu mimpi ini satu petanda untukku menegakkan kalimah Tauhid di muka bumi ini.” Doa hatinya dengan penuh pengharapan. Naufal Mustaqim melonggarkan tali leher, melangkah longlai menuju ke bilik air, membersihkan diri dan mengambil wuduk.

Ya Allah, di malam yang sepi ini,

Kulihat dosa-dosa,

Mematikan segala hati,

Hinanya diriku, bergelumang dosa-dosa,

Sedangkan meninggalkan dosa-dosa,

Menyegarkan dan menghidupkan segala hati,

Kebaikanlah buat diri jika menentangnya.

Ya Allah,

Berat sungguh ujianmu,

Betapa ramainya umat

Lalai dengan suruhanmu,

Tidak segan silu melakukan maksiat.

Ya Allah,

Aku tahu, dosa-dosa itu juga tercalit kepada diriku,

Kerana menyaksikan maksiat saudara Islamku.

Oleh itu, ya Allah,

Engkau berikanlah aku kekuatan untuk membimbing saudaraku,

Andai aku lalai, Engkau berikanlah aku petunjuk ke jalan yang lurus.

Ke jalan yang Engkau redai

Sesungguhnya aku hamba yang lemah.

Ya Allah,

Engkau sinarilah hati-hati kami dengan cahaya keimananmu,

Naufal Mustaqim mengesat air matanya yang mengalir. Hatinya benar-benar sayu. Malam yang hening itu dihiasi dengan tangisan keinsafan dari seorang hamba yang kerdil kepada pencipta Yang Maha Agung.

Subhanallah, alhamdulillah, lailahaillallah, Allahuakbar, alunan zikir bergema. Naufal Mustaqim terus berzikir. Ada ketenangan di hatinya. Allah berfirman dalam surah ar-Ra’du: ayat 28.

“Hanya dengan mengingati Allah sahaja, hati-hati akan menjadi tenang.”

Hatinya sentiasa dijamu dengan santapan dan bekalan rohani sehingga menjadi Rabbani, jernih dan cerah dan sentiasa takut kepada Allah.

Naufal Mustaqim masih ingat, kekasih Allah, Nabi Muhammad telah mengajar kita cara menjaga hati supaya sentiasa subur dan bersih. Segala karat di hati akan hilang,dan hati akan menjadi peka. Setiap sesuatu ada penggilapnya, dan penggilap hati adalah zikrullah.

“Tasbih memenuhi separuh timbangan (mizan). Alhamdulillah, memenuhi seluruh timbangan manakala 'lailahaillallah' tidak ada pendinding antaranya dengan Allah sehingga ia terus menuju Allah,” Sabda junjungan mulia Rasulullah.

“Din, bangun! Engkau sudah qiam atau belum?” Kejut Naufal Mustaqim.

“Aku penat sangat. Sudah pukul berapa, Qim?” Izzudin menggeliat, cuba membuka matanya. Dia sedar syaitan menggodanya untuk terus tidur. Kalau diikutkan hati, mahu Izzudin sambung tidur tetapi dia cuba melawan nafsu dan godaan itu. Kata-kata Ustaz Fadhil terngiang-ngiang di telinganya: “Orang yang rajin bangun malam, dia akan selamat daripada kesengsaraan dan kesempitan kubur. Rasulullah pernah berkata: Apabila seseorang hendak menunaikan sembahyang malam, datanglah malaikat seraya berkata kepadanya: Bangunlah, hari telah pagi, sembahyang dan ingatlah Tuhanmu. Syaitan pun datang juga dan memujuknya. Malam masih panjang, engkau boleh tidur lagi, nanti engkau boleh bangun. Kalau dia bingkas dari tempat tidurnya bersembahyang, maka badannya akan menjadi ringan (cergas) dan sihat. Kalau dia patuh kepada syaitan, tidur hingga ke siang, syaitan akan kencing di dalam telinganya.”

Huh, aku tidak mahu kena kencing dek syaitan,” dia bingkas bangun.

“Alhamdulillah, bangun juga sahabat aku seorang ini. Dah pukul 5:30 pagi. Sempat lagi solat Tahajud. Cepatlah. Pukul 6 nanti masuk subuh, kita jemaah sekali.” Naufal Mustaqim memberi arahan seperti komander.

“Baiklah. Huh, macam bapak orang,” Izzudin bergurau. Terus melangkah ke bilik air. Memutuskan ikatan kedua syaitan dengan berwuduk.

No comments:

Post a Comment