Tuesday, April 7, 2009

Bab 1 : Seteguh Hati Sumayyah

“Ya Allah, tabahkanlah hatiku ini sepertimana tabahnya Sumaiyah menghadapi dugaan dan seksaan musuhmu, teguhkanlah cintaku padamu sepertimana suci dan murni cinta Rabiatul Adawiyah yang mendamba cintamu. Ya Allah, berikanlah aku kekuatan sepertimana srikandi Islam yang memperjuangkan agamamu. Ya Allah, selamatkanlah suamiku daripada seksaan tentera Zionis yang tidak berperikemanusiaan. Teguhkanlah akidah kami menjulang panji agamamu. Berikanlah kemenangan kepada Islam. Ya Allah, andai suamiku pergi menghadapmu, aku reda, ya Allah. Perginya sebagai seorang mujahid yang menuju syahid. Andainya suamiku masih hidup, ya Allah, berikanlah kekuatan dan ketabahan kepadanya dalam menegakkan agamamu sebagai mana mujahid-mujahid terdahulu. Ya Allah, hanya kepadamu aku sembah dan hanya kepadamu aku mohon pertolongan. Kabulkanlah permintaanku, ya Allah. Amin Ya Rabbulalamin.”

Humaira menyeka air mata yang mengalir. Mengenangkan saat suaminya ditahan oleh tentera Zionis. Dia tidak tahu di mana suaminya sehingga ke saat ini. Sudah tiga bulan mereka tidak bersua. Sudah tiga bulan dia tidak menatap wajah suami tercinta atau menyuapkan nasi ke mulut suami tersayang. Tidak sampai seminggu diijabkabulkan, suaminya, Al-Amin telah ditahan tentera Zionis. Al-Amin dituduh sebagai salah seorang peneraju gerakan keganasan di Bandar Gaza.

Saban hari dia mendengar berita pemuda-pemuda Palestin ditangkap dan dipenjarakan. Hanya tinggal orang tua, wanita dan kanak-kanak meneruskan sisa kehidupan. Humaira sendiri dalam ketakutan.

......................................

“Tidak! Lepaskan!” Kedengaran Asmah menjerit-jerit. Dia trauma.

Asmah mangsa rogol tentera Zionis laknatullah. Dia dirogol beramai-ramai tanpa belas kasihan. Asmah yang bertudung litup itu hilang harga diri dalam sekelip mata. Suaminya ditangkap. Anak tunggalnya, Ahmed ditembak tanpa belas kasihan. Semua berlaku di depan matanya. Hilang semua insan yang disayangi.

Melihat Asmah sebatang kara, Humaira dirundung kesedihan. Bagaimana Asmah hendak meneruskan hidup? Yang melihat terasa berat bebannya, bagaimana Asmah sendiri yang menanggungnya. Bebanannya sangat berat. Asmah banyak berdiam diri. Ada hari-harinya Asmah tidak menjamah walau sesuap nasi. Asmah lebih banyak menyendiri, bermunajat kepada Allah. Humaira kagum dengan ketabahan Asmah. Bukan mudah untuk seorang wanita menghadapi detik sengsara seperti itu.

“Ya Allah, Engkau tabahkanlah hati suamiku menghadapi dugaan ini. Moga dengan dugaan ini cinta kami lebih kukuh kepadamu.” Pohon Humaira sambil menadah tangan.

Lewat tengah hari itu, Ibu Fatimah bersama tujuh orang wanita menjenguk Humaira dan Asmah. Mereka bercerita panjang. Ibu Fatimah juga kehilangan suami. Kisah Ibu Fatimah lebih menyayat hati. Tujuh anak lelakinya maut ditembak dengan mesingan oleh tentera Zionis tanpa belas kasihan. Sudah tentu semuanya berlaku di depan mata Ibu Fatimah. Suaminya yang berusia 60-an dibelasah beramai-ramai dan ditembak berkali-kali hingga bertemu ajalnya. Tentera laknatullah yang kurang ajar itu tidak berhenti sampai di situ sahaja, anak perempuan tunggal Ibu Fatimah yang sedang mengandung dirogol dan dirobek perutnya. Janin yang baru mencecah 5 bulan itu ditarik dan dibelit dengan tali pusatnya. Betapa kurang ajar dan tiada belas kemanusiaan tentera Zionis itu.

...................

Ibu Fatimah hanya mampu menjerit sambil menyebut kalimah Allah, Allah, Allah... Tangannya direntap dengan kasar. Semakin dia memberontak, semakin kuat tangannya direntap. Meski senjata mesingan itu menghentak kepala tuanya, ibu Fatimah tidak berasa sakit. Kalimah 'Allah' sentiasa di bibirnya. Hanya hatinya berasa amat sakit saat melihat satu persatu anaknya gugur, diikuti suami tercinta. Ibu Fatimah yakin, anak-anak dan suami tercintanya pergi menghadap Ilahi dalam keadaan syahid.

“Ibu tidak memaksa. Anak-anak ambillah masa untuk berfikir. Ingat, Islam tidak memerlukan kita tetapi kita memerlukan Islam. Tanpa kita, Islam akan terus hidup tetapi tanpa Islam, siapakah kita? Wanita adalah sayap kiri kepada lelaki. Lembut bukan untuk ditindas tetapi dalam kelembutan itu ada ketegasan. Kalau bukan kita turut serta dalam perjuangan ini, siapa lagi?” Ibu Fatimah luahkan cita-cita besarnya, mahu bangkit dari penindasan. Mahu mencipta hidup baharu di kalangan wanita di bumi Palestin. Perubahan mesti dilakukan, ibu Fatimah menyalakan obor semangat kepada semua wanita untuk sama-sama bangkit. Mengumpulkan semua mujahid untuk sama-sama memperjuangkan Islam. Sama-sama memperjuangkan bumi al-Quds.

“Saya bersetuju. Kita sama-sama terajui gerakan ini.” Humaira menyatakan persetujuannya.

“Ibu, apa yang boleh saya sumbangkan? Saya sendiri tidak mampu meneruskan hidup ini. Bukan tidak mahu turut serta tetapi saya lemah, ibu.” Asmah bersuara. Lemah. Dia tertunduk.

Ibu Fatimah menghampiri Asmah. Dia faham perasaan Asmah. Asmah masih trauma. Dipegang bahu Asmah. Penuh kasih sayang.

“Asmah, cuba kamu teliti terjemahan surah al-Insyirah, ayat 5-6. Bacakan terjemahan ayat tersebut.” Ibu Fatimah cuba menaikkan semangat Asmah yang kian luntur.

“Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.” Asmah membacakan terjemahan ayat itu.

“Lihat anakku, Allah ulang dua kali, sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Asmah anakku, jangan mudah berputus asa. Ingat, Allah sentiasa bersama-sama orang yang beriman dan bersabar. Kuatkan semangatmu.” Asmah memeluk Ibu Fatimah. Ibu Fatimah menyeka air mata yang mengalir laju di pipi merah Asmah. Wanita ini perlukan sokongan, bisik Ibu Fatimah.

Pagi itu, Ibu Fatimah berangkat ke Kem Mujahadah di Gaza. Ibu Fatimah disambut mesra oleh Aima Insyirah yang kelihatan gembira sekali menyambut kedatangan rombongan Ibu Fatimah. Sudah lama Aima Insyirah menantikan saat ini. Saat umi dan walid meninggalkan dia sendirian di bumi Palestin ini. Puas umi dan walid memujuk dia untuk kembali ke Malaysia. Tetapi dia berkeras. Bukan dia mahu membantah permintaan umi dan walidnya tetapi kerana dia tidak sanggup meninggalkan bumi al-Quds yang sedang bergolak ini. Walid faham. Umi pun faham namun naluri keibuan umi tidak mahu membiarkan Aima Insyirah menanggung sengsara. Melihat Aima Insyirah diburu senjata api askar Zionis yang tidak berperikemanusiaan, sukar bagi uminya untuk menerima semua itu. Tambahan pula Aima Insyirah satu-satunya permata hati umi dan walidnya.

Umi terpaksa ikut walid pulang ke Malaysia. Walid pulang untuk berkhidmat di ibu pejabat Kedutaan Palestin di Kuala Lumpur. Tempat umi adalah di sisi walidnya. Umi patuh, umi mahu jadi setia seperti Siti Khadijah yang sentiasa di sisi Rasullullah di saat susah dan senang.

“Semoga umi ditempatkan di syurga.” Doa Aima Insyirah.

Aima Insyirah ingat lagi. Sewaktu umi dan walid mahu berangkat pulang ke Malaysia, dia menangis. Bukan dia takut dan risau kerana ditinggalkan tetapi takut keputusannya menyinggung perasaan umi dan walid. Dia tidak mahu keputusan yang diambilnya menyebabkan tergurisnya hati umi dan walid. Kalau hati umi dan walidnya terguris, amalannya tidak berkat. Dia tidak akan dapat cium bau syurga sedangkan itulah impiannya. Umi, walid, restuilah keputusan Aima, hati kecil Aima Insyirah berbisik.

No comments:

Post a Comment