Tuesday, April 7, 2009

Bab 7 : Ujian Hati

Jam menunjukkan pukul 11 malam. Aima Insyirah pulang ke penempatan Mujahadah. Kelihatan Azzahra belum tidur, menantinya mungkin.

“Zahra, kenapa belum tidur lagi? Esok pagi perlu ke kuliah.” Aima Insyirah merapati Azzahra.

“Zahra tunggu kakak. Penat Zahra tunggu.” Azzahra menarik muka protes. Aima Insyirah hanya tersenyum. Mengawal diri daripada ketawa meletus. Lucu dengan gelagat adiknya yang seorang ini, mudah merajuk dan manja.

“Tidak perlulah tunggu kakak lain kali. Ada apa-apa yang Zahra mahu bincang dengan kakak?” Kerutan dahi Aima Insyirah mempamerkan persoalan. Azzahra diam seketika.

“Eh, tidak ada apa-apalah. Saja mahu jumpa kakak sebelum tidur. Manalah tahu esok tidak berkesempatan lagi,” bicara Azzahra menyorokkan sesuatu. Matanya dialihkan daripada Aima Insyirah, yang dapat mengesan ada perkara mengganggu konsentrasi Azzahra.

“Kalau macam itu, mari kita bersihkan diri, solat sunat taubat dan witir bersama sebelum tidur. Bila Zahra sudah bersedia untuk ceritakan kepada kakak, cakaplah. Kakak sedia mendengarnya,” Aima Insyirah meleraikan persoalan di kepalanya. Tidak ingin memaksa Azzahra.

Azzahra memandang tepat ke bola mata Aima Insyirah, tidak menyangka Aima Insyirah dapat menyelami kekusutan di fikirannya. Dia tersenyum hambar dan tunduk. Azzahra menuruti Aima Insyirah berwuduk.

………………………………………………………

Aima Insyirah tersedar dari tidurnya, bunyi bising di luar mengganggunya. Digapai handsetnya, pukul 3.45 pagi. Kepalanya dilitup, lampu suluh di bawa untuk meninjau keadaan di luar.

“Isyy, anjing-anjing Zionis mana tersesat ke sini,” gusar Aima Insyirah. Kelihatan beberapa ekor anjing mencari makanan di tempat pembuangan sampah. Mujurlah hanya anjing, kebimbangan Aima Insyirah sedikit reda. Dalam situasi yang sentiasa mengancam, pelbagai perkara boleh berlaku.

“Alhamdulillah,” tahmid Aima Insyirah, kembali ke khemah. Seketika, fikiran Aima Insyirah ligat berputar mengingati sesuatu. Gambaran itu masih jelas di kotak mindanya. Tidurnya sebentar tadi didatangi seorang pemuda bersih wajahnya, penuh ketenangan dan obor semangat perjuangan Islam sirna di matanya. Pemuda itu mendekatinya ketika dia bersama walid dan umi.

“Salam taaruf, saya Naufal Mustaqim,” senyuman terukir. Menawan. Huluran salam disambut walid. Aima Insyirah memandang umi kehairanan. Umi sekadar mengangguk dan tersenyum. Pemuda itu memandangnya dan sedikit demi sedikit hilang daripada pandangan.

“Astaghfirullahalazim, kenapa dia hadir dalam tidurku?” Tidak terlintas di fikiran Aima Insyirah tentang sahabatnya itu. Apatah lagi memikirkannya hingga membawa ke dalam lena. Aima Insyirah menyucikan diri, masih berkesempatan untuk berqiamulail. Hatinya tidak tenang, terganggu dengan mimpinya bertemu Naufal Mustaqim setelah enam tahun terpisah.

“Begitukah rupa Naufal Mustaqim sekarang?” Aima Insyirah mengandaikan. Aima Insyirah cepat-cepat menghilangkan andaian sebegitu, bimbang nafsu menguasainya dan membuatkannya lalai.

Solat tahajud, sunat taubat, tasbih dan hajat selesai dilaksanakan. Aima Insyirah mengalunkan zikir dan membaca ayat suci al-Quran. Ayat-ayat lazim dibacanya.

“Demi nafsu (manusia) dan yang menyempurnakan ciptaannya, lalu diilhamkan Allah kepadanya (jiwa manusia) mana yang buruk dan mana yang baik, sesungguhnya mendapat kemenangan bagi orang yang menyucikan hatinya dan rugilah orang yang mengotorinya.” (asy-Syam: 7-10)

Air mata Aima Insyirah menitis tanpa dipinta, peringatan Allah itu menghiris kalbunya, seperti teguran Allah buat dirinya. Mengapa dia perlu memikirkan tentang mainan tidur, yang mungkin hanyalah daripada syaitan. Sayup-sayup kedengaran azan Subuh berkumandang. Aima Insyirah mengesat manik jernih yang mengalir, bangkit untuk memperbaharui wuduknya. Azzahra dan ibu Fatimah telah berada di khemah solat, menanti yang lain untuk berjemaah. Solat Subuh diimami oleh Humaira, bacaan yang merdu dan menenangkan. Majlis ibadah di pagi hening itu disudahi dengan bacaan almathurat kubra dan tazkirah oleh Aima Insyirah. Terkejut Aima Insyirah dijemput memberi sedikit tazkirah sedangkan dirinya dalam keadaan yang tidak tenang. Aima Insyirah cuba menyampaikan yang termampu. “Mungkin ini cara Allah ingin tarbiyah diriku,” bisik Aima Insyirah sendiri.

Allah berfirman, mafhumnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh di medan perjuangan, dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya mencapai kemenangan.” (Ali Imran: 200)

“Rasulullah adalah contoh ikutan yang paling baik. Baginda tetap bekerja dan berjihad untuk mencapai tujuannya sekali pun terpaksa menempuh pelbagai halangan dan kesusahan, pelbagai godaan dan ancaman. Para sahabat telah ditarbiah dengan petunjuk nabi, mereka sabar dan thabat, tidak merasa lemah dan berputus asa sehinggalah mereka bertemu dengan Allah. Kita yang meneruskan perjuangan ini, perlu kuat, ujian yang kita hadapi bukanlah sehebat ujian para anbia dan sahabat-sahabat. Siapalah kita berbanding dengan habibullah dan para sahabat. Wallahualam. Semoga dapat kita muhasabah bersama, memperbaiki diri dan ikhlaskan niat dalam perjuangan ini.”

Saat selesai berkongsi sedikit ilmu buat pedoman bersama, dia merasa sedikit tenang. Allah Maha Mengetahui. Pastinya tazkirah sebentar tadi untuk peringatan dirinya sendiri. Moga setiap butir bicara yang dituturkan sebentar tadi menjadi peringatan buatnya. Aima Insyirah menyeka air mata yang mula bertapak di pipinya. ‘Mengapa mudahnya air mata ini mengalir.’ Getus hatinya.

No comments:

Post a Comment