Isnin & Selasa ( 25 dan 26 Mei 2009) Ruangan HATI (Ulat Buku)
AIMA Insyirah, gadis berasal dari Malaysia menabur bakti sebagai sukarelawan di Palestin. Berlatarbelakangkan pergolakan Palestin, Aima Insyirah tetap tersenyum membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Zionis.Namun pada saat seluruh hatinya ditujukan untuk tujuan murni itu, ada serpih hatinya yang tertinggal di Malaysia. Naufal Mustaqim, kenalan lamanya kembali berhubung dengan sejuta harapan kebahagiaan.Pada saat hatinya merindu kepada Naufal, hatinya mula diuji dengan hadirnya Jeneral Ri'fail Zanki - ketua briged Ayyubi yang menyimpan hati kepada Aima Insyirah.Pada saat hatinya menginsafi penderitaan penduduk Palestin, dirinya pula diuji apabila dia ditangkap oleh tentera Zionis. Kalut. Buntu. Terasing. Pada saat hatinya hanya mampu menggambar bahagia ilusi, masih mampukah dia melakar cinta firdausi?
Judul: Melakar Cinta Firdausi Penulis: Nurul Aini K Azhari & Aimi Nabihah Mohamad Penerbit: PTS Litera Utama Sdn Bhd (2009) Harga: RM16 (Sabah & Sarawak RM18)Halaman: 294
-Alhamdulillah.Terima kasih buat penerbit,sahabatku, aini azhari, keluarga dan semua sahabat2 kami yang membantu dan menyokong. Semoga usaha ini hanyalah untuk Islam,bukan kebanggaan.Amin-
AL-AMIN terus diburu. Walaupun Zionis laknatullah dengan gembira mengumumkan kejayaan mereka menumpaskan beberapa pejuang merbahaya, tetapi itu belum mencukupi. Selagi Al-Amin tidak ditangkap, mereka belum puas dan tidak akan puas. Siapa yang tidak mengenali Al-Amin, pejuang yang berani mati. Al-Amin tulang belakang Briged Ayubi. Rejim Zionis berusaha memastikan Al-Amin ditangkap ataupun menyerah diri. Selagi mana Al-Amin bebas berkeliaran, ia mengancam keselamatan mereka. Hakikatnya, Zionis laknatullah takut akan Al-Amin. Humaira kaku. Tiada reaksi. Setitis demi setitis air matanya menitis. Berkaca-kaca. Berkaca. Mata galaknya membulat. Terkejut. “Humaira tidak apa-apa?” Rangkulan itu erat memeluk Humaira. Segala kerinduan terubat. Adakah penantiannya sudah berakhir? Humaira berasa sangat tenang, tenang dalam dakapan itu. Sungguh dia sangat rindukan saat itu. Bersama suaminya, Al-Amin. “Abang minta maaf, sayang. Inilah perjuangan kita, Humaira. Humaira tentu sangat faham, bukan?” Al-Amin tahu kebimbangan isterinya atas keselamatannya dan keadaan dirinya Humaira mengangguk. Dia isteri pejuang, dia memahaminya. Dia bersama Mujahadah. Bersama dalam perjuangan ini. Memang selama ini dia diselubungi kebimbangan. Hanya seminggu mereka bersama kemudian Al-Amin perlu pergi, mereka terpisah. Untuk perjuangan menegakkan kembali bumi al-Quds dari dikuasai oleh Zionis laknatullah. “Humaira rindu. Humaira akan sentiasa merindukan abang. Tetapi biarlah rindu ini dapat menemukan kita di akhirat kelak.” Tangan suaminya dikucup berkali-kali. Matanya masih basah. Sedunya berbunyi. “Doakan Humaira untuk kuat dalam perjuangan ini, abang.” Humaira bersyukur diberi kesempatan untuk bersama dengan suaminya yang tercinta, walau seketika. Al-Amin memahami jiwa isterinya. Seorang isteri tidak mampu bertahan apabila berbulan ditinggalkan. Apa lagi bertahun-tahun. “Humaira isteri abang yang hebat. Keperitan di dunia hanya sementara, moga Allah kekalkan kita di akhirat nanti. Impian kita bukan di sini, tetapi di destinasi abadi, sayang. Perpisahan ini hanya sementara. Penderitaan ini hanya untuk seketika supaya kita dapat bersama kelak yang kekal untuk selama-lamanya,” Al-Amin menenangkan Humaira. Manik jernih mengalir di pipi Humaira diseka. Rambut hitam Humaira dielus-elus lembut. Humaira tenang dalam dakapannya. Mata Humaira berkaca. Seribu satu gelodak rasa di jiwa. Mengundang resah. Jiwa halus mula berbisik. "Ya Allah, selamatkanlah suamiku. Kau lindungilah dirinya dengan kasih dan sayangMu. Berikan dia kekuatan untuk terus berjuang di jalanMu. Jangan Kau nampakkan kesedihanku ini di matanya kerana aku tidak mahu kesedihan ini menjadikan hatinya lemah.” Sedaya Humaira menahan kolam air matanya dari mengalir. Bibirnya bergetar. Hatinya perit menahan rasa. "Sayang, perjuangan ini menuntut pengorbanan keseluruhan jiwa raga. Apatah lagi nyawa yang bila-bila masa bakal dijemput Ilahi. Selangkah ke alam perjuangan selamanya dalam kepahitan. Humaira sayang, perjuangan ini tidak dihampar dengan permaidani merah. Tetapi ingatlah sayang, onak dan duri yang akan terus kita tempuhi. Jangan ada resah dan kesal walau sedikit di hatimu sayang. Jika kita benar-benar ikhlas dalam perjuangan ini, Dia pasti tidak akan menghampakan kita. Percaya dan yakinlah wahai sayangku Humaira.” Sebak di dada Humaira tidak tertahan lagi. Kolam jernih Humaira mengalir jua. Deras dan semakin laju menderu mengalir. Al-Amin menarik tubuh kecil Humaira rapat ke dadanya, dirangkul erat. Menenangkan kedukaan jiwa isteri tercinta. Rambut Humaira dibelai dan diusap perlahan-lahan. ”Menangislah sayangku. Menangislah sepuas hatimu sayang. Air matamu itu adalah sumber kekuatan,” Al-Amin berbisik sayu. Dinihari, Humaira masih lena didodoi suami tercinta. Perlahan, Al-Amin meleraikan lentok kepala Humaira di sisi. Subuh semakin menghampiri. Al-Amin perlu beredar sebelum azan berkumandang. Wajah tabah Humaira ditatap dalam, sepuas hatinya. Mungkin inilah ke sekian akhirnya dia dapat melihat dan merenung raut wajah isteri tercinta. Pilu bertamu di hati. Dahi Humaira dikucup. Lama...
ASKAR yang berpakaian seragam hijau, berlencana Zionis, menyentap kerudung yang melitupi aurat Aima Insyirah. Aima Insyirah tersentap, matanya kemerahan memandang anjing laknatullah itu. Rambutnya terurai jatuh mencecah bahu. Maruahnya dipersendakan. “Wow, so beauty!” Askar Zionis itu mengelus-ngelus rambut halus Aima Insyirah. Matanya melirik ke seluruh tubuh Aima Insyirah. Aima Insyirah menepis kasar. Mencari kekuatan mempertahankan maruahnya. Askar itu memandang Aima Insyirah dengan niat jahat, mengeluarkan kata-kata kotor dan membuat gerakan lucah. Aima Insyirah terus dipaksa untuk bersuara, menjawab soalan. Namun, Aima Insyirah tetap berdegil. Biar terkorban diri, tetapi bukan korbankan perjuangan Islam. Aima Insyirah berjanji pada dirinya bahawa anjing-anjing Zionis boleh menakluki tubuhnya, tetapi mereka tidak akan dapat menguasai jiwanya, mematahkan akidahnya atau melunturkan semangat perjuangannya. Ptuih! Sepantas kilat Aima Insyirah meludah ke muka askar laknatullah itu. Pang! Satu penampar singgah di pipi Aima Insyirah. Merah dan pedih. Adatitisan darah di hujung bibirnya. Sungguh kuat tangan kasar itu mengasari pipi Aima Insyirah. “Nah, ambillah! Pergi mampuslah dengan agamamu,” tudung dilemparkan ke muka Aima Insyirah. Penghinaan itu membakar jiwanya. “Lakum dinukum waliyadin.” Aima membalas penghinaan mereka. Matanya bersinar, jelas kemarahannya. Askar Zionis ketawa berdekah-dekah, mengejek pendirian Aima Insyirah. “Sebat dia 100 kali!” Tubuh kecil Aima Insyirah digantung pada tiang besi, sebatan mendarat ke tapak kaki dan seluruh badannya. Kesakitan di segenap tubuh terasa sehingga ke tulang. Suara rintihan Aima Insyirah mengajukan pengaduan kepada Allah. Mulut Aima Insyirah tidak putus mengulang-ulang Asmaullahazam. “Ya Allah, ya Allah, Allahuakbar!” Sebatan yang dihayun ke tubuh menyiat-nyiat kulitnya. Hatinya hanya bergantung kepada Allah. Sayup-sayup, Aima Insyirah terdengar suara anjing-anjing laknatullah itu memanggilnya. Mengarahkannya berdiri tegak. Menambahkan lagi azab kesakitan yang menimpanya. Mata Aima Insyirah tidak mampu dibuka. Apatah lagi untuk bangun berdiri. Si gempal laknatullah mengarahkan askarnya menegakkan tubuh Aima Insyirah. “Mana Tuhanmu? Panggillah Tuhanmu. Minta Dia lepaskan engkau dari cengkaman aku, panggillah!” teriak si gempal laknatullah itu. Aima Insyirah tidak menjawab. “Di mana Tuhan yang engkau agungkan itu?” kata-katanya menyakitkan hati Aima Insyirah. Menyakitkan hati semua umat Islam kalau didengari. “Allah akan berbuat sesuatu dan punya kekuatan Yang Maha Besar.” Aima Insyirah menjawab walaupun tekaknya tidak mampu mengeluarkan suara. Aima Insyirah dibawa keluar dari sel tahanan. Dia dibawa ke rumah sakit untuk rawatan.
Trak-trak askar rejim Zionis hancur. Pengeboman berlaku di sana-sini. Pejuang-pejuang mula bertindak. Pastinya mereka ialah pejuang-pejuang yang berjaya melarikan diri daripada penjara. Kelibat mereka tidak dapat dikesan. Pengawasan rejim Zionis beralih pada tempat-tempat strategik bagi memastikan Al-Amin bersama tiga pejuang lain ditangkap ataupun dihapuskan. “Jangan lupa, malam ini!” Interkom berbunyi. Gerakan Mujahadah bersedia. Briged Al Ayubi perkemaskan persediaan. Strategi, fizikal dan ruhiyyah. Humaira tidak pernah lekang dari munajat kepada Ilahi. Dia yakin, pertolongan Allah semakin hampir. Perasaan rindu yang mendalam kepada Al-Amin, suami tercinta tidak pernah lekang dari hatinya. Rindu yang kian mendalam. Allah sedang menguji cinta dan kasih sayangnya. Segalanya disandarkan kepada pemilik segala rasa rindu. Biarlah Allah memelihara perasaannya supaya tidak melunturkan rasa rindu kepada yang lebih berhak. Ditahan gelodak di jiwa. Tawakal sepenuhnya kepada Allah. Dia lebih mengetahui hikmah setiap kejadian. Azzahra dan beberapa orang intel yang lain mengawal operasi di pusat kawalan utama. Dua operasi dijalankan serentak. Operasi pembebasan tahanan Palestin. Zon A, Penjara Gaza. Zon B, Penjara Nablus. Ribuan pejuang Ayubi bersedia, menuju ke pusat operasi yang ditetapkan. Jeneral Rifa’il Zanki ketuai operasi di Penjara Gaza. Turut serta Aima Insyirah dan mujahadah-mujahadah lain, mereka di arah ke pusat tahanan wanita Palestin. Leftenan Harithah Fadhallah mengetuai Zon B bersama Leftenan Major Ameer Hussaini. Askar rejim Zionis yang terlena, dimandikan dengan semburan odour-poisonous. Bagai tangki gas yang bocor merebak ke seluruh ruang udara. Pengawal di pusat kawalan dihapuskan. Odour-poisonous menyerang sistem saraf utama dengan cepat, memberikan kekejangan otot dan mati dalam 30 saat. Pintu penjara dihancurkan, bom C4 dilemparkan. Pintu-pintu jeriji bilik tahanan turut dimusnahkan. Tiba-tiba siren amaran berbunyi. Bising dan kuat membingitkan gegendang telinga. Suasana menjadi cemas di Penjara Ghaza. Aima Insyirah kaget. “Kenapa Jeneral Rifa’il? Apa yang berlaku? Bukankah kita telah hapuskan semua sistem kawalan?” Tanya Aima Insyirah bertalu-talu. Mujahadah lain pucat. Bimbang. Jeneral Rifa’il mengerutkan dahi. Berfikir. Perlu tangkas bertindak! Operasi membebaskan pejuang di Penjara Gaza sudah dikesan di pusat kawalan rejim Zionis. Aima Insyirah, Jeneral Rifa’il dan ramai lagi pejuang Ayubi terperangkap di dalam penjara. Trak-trak pengangkutan dibom. Suara jeritan dan mengerang kesakitan jelas kedengaran. Mayat hitam yang rentung bergelimpangan di sana sini. Ramai tentera Ayubi yang syahid, terkena bedilan kereta kebal rejim Zionis. Suasana sebelum Subuh didendangkan dengan bunyi tembakan. Ramai tahanan terkorban. Jeneral Rifa’il mengarahkan Aima Insyirah segera melarikan diri dan menyelamatkan diri. Jantung Aima Insyirah berdegup dengan penuh kencang. Serasa seluruh tubuhnya menggigil-gigil, sejuk kaku dibasahi rejap peluh memenuhi wajah cemasnya. Tidak pernah seumur hidupnya, berhadapan dengan ancaman maut. Tidak pernah dia merasai ketakutan yang teramat sangat... sangat takut! Ketakutan itu tidak pernah dialami sebelum ini. Keringat mengalir deras. "Ya Allah, beginikah ketakutan setiap hari yang dirasai oleh hamba-hambaMu di bumi Palestin ini?” Dadanya sebak, ubunnya mencucuk-cucuk, manik jernih mula menuruni pipinya. Antara sebak dan ketakutan. Semuanya memenuhi ruang hatinya. Lutut Aima Insyirah semakin kuat menggigil. Lariannya bagaikan mahu terhenti. Derapannya terasa terlalu sukar dan payah. "Allahu Ahad! Allahu Ahad!” tangisan ketakutan Aima Insyirah tidak terbendung lagi. Samar pandangannya dikaburi lebatnya titisan air mata. Asma’ Allah tidak henti-henti menghiasi kalamnya. "Allah, berikan aku kekuatan... Bantu aku Ya Allah... Allah... Allah...” Aima Insyirah terus berusaha membina kekuatan, menghimpunkan segala kudrat yang ada bagi mempercepatkan langkahnya Hayunan langkahnya dirasakan semakin ringan. Aima Insyirah terus berlari selaju mungkin tanpa menoleh ke belakang. Dia sedar, ada laknatullah mengejarnya dari belakang. Tiada apa, tiada siapa lagi yang boleh menyelamatkannya di saat genting itu, melainkan hanya Allah. Hanya Allah. Aima Insyirah tidak mempedulikan apa-apa lagi. Dia berlari dan terus berlari tanpa henti dengan kekuatan Allah mengiringi. Tiba-tiba, buk!! Kaki Aima Insyirah terlanggar objek keras. Aima Insyirah jatuh tersungkur. Kepalanya terhantuk pada batuan-batuan kasar. Mukanya tersembam. Pasir dan debu-debu halus menerjah ke seluruh permukaan korneanya. Kakinya terasa perit. Cecair pekat merah tidak berhenti mengalir di celah-celah jari kaki dan dahinya. Aima Insyirah berusaha keras untuk bangkit. Dahinya berdenyut-denyut kuat. Pedih! Perit di kedua mata ditahan kesakitan. Kabur pandangan. Rembesan cecair mata mengalir menahan kepedihan. Tangan Aima Insyirah sempat meraba-raba mendapatkan sesuatu di but dalam keadaan terengsot-engsot. Bom tangan pantas digapai, sepantas kilat segera dilemparkan bom itu ke arah musuh dari arah belakang. Tangan Aima Insyirah menggeletar hebat. Namun dia puas! Bom!! Bom!!!! Pang!! Pang!!! "Arghhhh!!!” Aima Insyirah mengerang kesakitan. Tangan kirinya cedera parah. Tertusuk peluru bedilan laknatullah. "Allah... Allah...” Pandangan Aima Insyirah berpinar-pinar. Kabut hitam memenuhi seluruh ruangan penglihatan. Suasana menjadi gelap gelita. Kelam...
Assalamualaikum warahmatullah anak-anak ibu yang dikasihi,
Ibu bangga dengan api perjuangan anak-anak, moga semangat ini terus membakar semarak api. Tetapi anak-anak, di sini ibu ingin ingatkan, dalam berjuang, pastikan hubungan kita dengan Allah dijaga. Ingin ibu tekankan tentang solat malam yang menjadi penggerak utama kebangunan Nubuwwah. Ia merupakan bekalan para Mukmin dengan potensi dan daya juang yang tidak dapat digambarkan hebatnya.
“Dalam surah al-Muzammil ayat 6, ada mengatakan: “Sesungguhnya jiwa (orang) yang terbentuk di waktu malam itu lebih mantap (keperibadiannya) dan lebih jitu kata-katanya.”
“Diriwayatkan ketika jibril datang bertemu Rasullah, lalu berkata kepada baginda:
Hai Muhammad, hiduplah seperti mana yang engkau mahu, namun engkau pasti mati. Berbuatlah apa yang engkau mahu, namun engkau akan berpisah dengannya. Ketahuilah bahawa keutamaan seseorang Mukmin ialah qiam al-lail (sembahyang malam) manakala kemuliaannya ialah sikap berdikari (tidak bergantung kepada orang lain).”
“Anak-anak yang dikasihi, ibu harap anak-anak nampak dan jelas kepentingan solat malam dalam membentuk para daie yang berjiwa Rabbani. Apa yang dikatakan Rabbani itu? Ia adalah berhubung dengan hubungan hati dan jiwa kepada Allah, mempunyai hati yang peka, kewaspadaan yang tinggi serta kekritisan daya fikir. Ingatlah anak-anak, alangkah hebatnya kurnia dan ganjaran yang diberikan. Dengan beberapa rakaat solat yang dikerjakan di waktu malam, ia boleh selamat dari seksa kubur, kesepian dan kelengangannya. Kubur itu adalah anak tangga pertama ke akhirat. Jika seseorang boleh selamat dari seksanya, maka peringkat selepas itu adalah lebih mudah. Tetapi kalau ia tidak selamat, maka apa yang akan dihadapinya selepas itu akan lebih payah.”
“Anak-anak ibu yang disayangi, ibu harap anak-anak terus istiqamah dalam perjuangan. Ingatlah kesusahan yang diiringi dengan kesabaran, usaha, doa dan tawakal adalah bunga-bunga kejayaan. Janganlah ada di kalangan anak-anak ibu yang mengabaikan hubungan yang intim dengan Allah hanya kerana sibuk dengan strategi perjuangan. Sekian sahaja dari ibu, Assalamualaikum!”
Pengisian Ibu Fatimah, rutin mingguan gerakan Mujahidah berakhir. Ibu Fatimah memerhatikan Aima Insyirah tidak kelihatan. Tidak pernah Aima Insyirah tidak hadir mesyuarat. Kalau ada hal penting, Aima Insyirah akan memaklumkannya terlebih dahulu. Humaira dan Azzahra juga tidak tahu kenapa Aima Insyirah tidak hadir. Masing-masing tertanya-tanya.
………………………………
Rindu pada umi dan walid hadir. Bila dalam kelemahan, kata-kata nasihat dan belaian umi dan walid didambakan. Aima Insyirah tidak tahu mengapa dia begitu lemah. Lemah menghadapi ujian hati, tanpa dia pinta ada secebis harapan diletakkan dalam hatinya kepada insan bernama Naufal Mustaqim. Walaupun tanpa mengenal rupa ketika telah dewasa, tidak mengetahui bagaimana akhlaknya kini tetapi cebisan kenangan silam membuatkan hatinya bergetar apabila terlintas nama unik itu di fikirannya. Benarlah ungkapan, cinta itu hadir tanpa dipinta, cinta itu berputik tanpa disangka. Hanya sebagai hambanya, perlu bijak meletakkan anugerah cinta itu sesuai di tempatnya.
“Umi, walid, Aima perlukan kekuatan. Aima lemah dalam keseorangan. Apa yang perlu Aima buat umi? Bagaimana cara untuk Aima mengatasinya walid?” Bingkai fotonya bersama umi dan walid digapai.
“Aima rindu pelukan umi yang menenangkan. Aima rindu nasihat walid yang mendamaikan. Tolong Aima, umi..walid..” Bingkai foto mula basah. Dilihat gambarnya bersama umi dan walid, wajahnya ketika itu penuh ceria dan kegembiraan.
“Oh diri, mengapa engkau tidak mampu melawannya. Mengapa engkau tidak cuba untuk menjadi seceria seperti dahulu. Engkau perlu mengatasinya. Pasti boleh, Aima Insyirah!” Aima Insyirah bermonolog sendirian, mencari kekuatan, mendorong diri.
“Assalamualaikum,” bunyi salam menyentakkan Aima Insyirah yang hanyut dalam dunianya sendiri.
“Waalaikumussalam!” Jawab Aima Insyirah dalam kekalutan. Dirinya tidak bersedia menerima tetamu ketika ini.
Jam menunjukkan pukul 11 malam. Aima Insyirah pulang ke penempatan Mujahadah. Kelihatan Azzahra belum tidur, menantinya mungkin.
“Zahra, kenapa belum tidur lagi? Esok pagi perlu ke kuliah.” Aima Insyirah merapati Azzahra.
“Zahra tunggu kakak. Penat Zahra tunggu.” Azzahra menarik muka protes. Aima Insyirah hanya tersenyum. Mengawal diri daripada ketawa meletus. Lucu dengan gelagat adiknya yang seorang ini, mudah merajuk dan manja.
“Tidak perlulah tunggu kakak lain kali. Ada apa-apa yang Zahra mahu bincang dengan kakak?” Kerutan dahi Aima Insyirah mempamerkan persoalan. Azzahra diam seketika.
“Eh, tidak ada apa-apalah. Saja mahu jumpa kakak sebelum tidur. Manalah tahu esok tidak berkesempatan lagi,” bicara Azzahra menyorokkan sesuatu. Matanya dialihkan daripada Aima Insyirah, yang dapat mengesan ada perkara mengganggu konsentrasi Azzahra.
“Kalau macam itu, mari kita bersihkan diri, solat sunat taubat dan witir bersama sebelum tidur. Bila Zahra sudah bersedia untuk ceritakan kepada kakak, cakaplah. Kakak sedia mendengarnya,” Aima Insyirah meleraikan persoalan di kepalanya. Tidak ingin memaksa Azzahra.
Azzahra memandang tepat ke bola mata Aima Insyirah, tidak menyangka Aima Insyirah dapat menyelami kekusutan di fikirannya. Dia tersenyum hambar dan tunduk. Azzahra menuruti Aima Insyirah berwuduk.
………………………………………………………
Aima Insyirah tersedar dari tidurnya, bunyi bising di luar mengganggunya. Digapai handsetnya, pukul 3.45 pagi. Kepalanya dilitup, lampu suluh di bawa untuk meninjau keadaan di luar.
“Isyy, anjing-anjing Zionis mana tersesat ke sini,” gusar Aima Insyirah. Kelihatan beberapa ekor anjing mencari makanan di tempat pembuangan sampah. Mujurlah hanya anjing, kebimbangan Aima Insyirah sedikit reda. Dalam situasi yang sentiasa mengancam, pelbagai perkara boleh berlaku.
“Alhamdulillah,” tahmid Aima Insyirah, kembali ke khemah. Seketika, fikiran Aima Insyirah ligat berputar mengingati sesuatu. Gambaran itu masih jelas di kotak mindanya. Tidurnya sebentar tadi didatangi seorang pemuda bersih wajahnya, penuh ketenangan dan obor semangat perjuangan Islam sirna di matanya. Pemuda itu mendekatinya ketika dia bersama walid dan umi.
“Salam taaruf, saya Naufal Mustaqim,” senyuman terukir. Menawan. Huluran salam disambut walid. Aima Insyirah memandang umi kehairanan. Umi sekadar mengangguk dan tersenyum. Pemuda itu memandangnya dan sedikit demi sedikit hilang daripada pandangan.
“Astaghfirullahalazim, kenapa dia hadir dalam tidurku?” Tidak terlintas di fikiran Aima Insyirah tentang sahabatnya itu. Apatah lagi memikirkannya hingga membawa ke dalam lena. Aima Insyirah menyucikan diri, masih berkesempatan untuk berqiamulail. Hatinya tidak tenang, terganggu dengan mimpinya bertemu Naufal Mustaqim setelah enam tahun terpisah.
“Begitukah rupa Naufal Mustaqim sekarang?” Aima Insyirah mengandaikan. Aima Insyirah cepat-cepat menghilangkan andaian sebegitu, bimbang nafsu menguasainya dan membuatkannya lalai.
“Demi nafsu (manusia) dan yang menyempurnakan ciptaannya, lalu diilhamkan Allah kepadanya (jiwa manusia) mana yang buruk dan mana yang baik, sesungguhnya mendapat kemenangan bagi orang yang menyucikan hatinya dan rugilah orang yang mengotorinya.” (asy-Syam: 7-10)
Air mata Aima Insyirah menitis tanpa dipinta, peringatan Allah itu menghiris kalbunya, seperti teguran Allah buat dirinya. Mengapa dia perlu memikirkan tentang mainan tidur, yang mungkin hanyalah daripada syaitan. Sayup-sayup kedengaran azan Subuh berkumandang. Aima Insyirah mengesat manik jernih yang mengalir, bangkit untuk memperbaharui wuduknya. Azzahra dan ibu Fatimah telah berada di khemah solat, menanti yang lain untuk berjemaah. Solat Subuh diimami oleh Humaira, bacaan yang merdu dan menenangkan. Majlis ibadah di pagi hening itu disudahi dengan bacaan almathurat kubra dan tazkirah oleh Aima Insyirah. Terkejut Aima Insyirah dijemput memberi sedikit tazkirah sedangkan dirinya dalam keadaan yang tidak tenang. Aima Insyirah cuba menyampaikan yang termampu. “Mungkin ini cara Allah ingin tarbiyah diriku,” bisik Aima Insyirah sendiri.
Allah berfirman, mafhumnya:
“Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh di medan perjuangan, dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya mencapai kemenangan.” (Ali Imran: 200)
“Rasulullah adalah contoh ikutan yang paling baik. Baginda tetap bekerja dan berjihad untuk mencapai tujuannya sekali pun terpaksa menempuh pelbagai halangan dan kesusahan, pelbagai godaan dan ancaman. Para sahabat telah ditarbiah dengan petunjuk nabi, mereka sabar dan thabat, tidak merasa lemah dan berputus asa sehinggalah mereka bertemu dengan Allah. Kita yang meneruskan perjuangan ini, perlu kuat, ujian yang kita hadapi bukanlah sehebat ujian para anbia dan sahabat-sahabat. Siapalah kita berbanding dengan habibullah dan para sahabat. Wallahualam. Semoga dapat kita muhasabah bersama, memperbaiki diri dan ikhlaskan niat dalam perjuangan ini.”
Saat selesai berkongsi sedikit ilmu buat pedoman bersama, dia merasa sedikit tenang. Allah Maha Mengetahui. Pastinya tazkirah sebentar tadi untuk peringatan dirinya sendiri. Moga setiap butir bicara yang dituturkan sebentar tadi menjadi peringatan buatnya. Aima Insyirah menyeka air mata yang mula bertapak di pipinya. ‘Mengapa mudahnya air mata ini mengalir.’ Getus hatinya.
Aima Insyirah, gadis yang berasal dari Malaysia menabur bakti di bumi Palestin. Berlatar belakangkan pergolakan Palestin, Aima Insyirah tetap tersenyum membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Zionis.
Namun pada saat seluruh hatinya ditujukan untuk Palestin, ada serpih hatinya yang tertinggal di Malaysia.Naufal Mustaqim, kenalan lama kembali berhubung dengan sejuta harapan kebahagiaan.
Pada saat hatinya merindu, hatinya mula diuji dengan kehadiran mujahid hebat, Ketua Briged Ayyubi, Jeneral Rifai'l Zanki yang melamar dirinya.
Pada saat dirinya berjuang demi Palestin, kini dirinya diuji apabila dia ditangkap oleh Zionis Laknatullah...
Kalut..Buntu..Terasing..
Lalu pada saat hatinya hanya mampu menggambar bahagia ilusi, masih mampukah dia melakar cinta firdausi??
Untuk maklumat lanjut, Layari http://pts.com.my/index.php/buku/3188/
::Pengumuman::
Novel Melakar Cinta Firdausi Telah terbit pada 12 Mei 2009 Terbitan PTS Litera Publisher Sdn. Bhd.
Kini di pasaran. Boleh didapati di kedai-kedai buku MPH bookstore dan Popular di seluruh negara.
Untuk tempahan direct melalui penulis, boleh hubungi: